Pelakon Lee Dong Wook kecewa apabila filem terbaharu lakonannya berjudul Harbin gagal mendapat sambutan sejak ditayangkan di pawagam awal Januari lalu.
Meskipun dalam nada berseloroh, namun aktor berusia 44 tahun ini seakan-akan kecewa apabila usaha mempromosikan naskhah tersebut sejak dua tahun lalu tidak mendatangkan sebarang hasil.
Malah Dong Wook meluahkan perasaan kecewa terhadap peminat yang tidak ke pawagam menonton filem lakonannya.
“Secara jujurnya saya kecewa dengan penonton. Saya telah mempromosikan filem ini sejak dua tahun lalu.
“Kenapa anda semua tidak menonton? Jumlah kutipan masih tidak mencapai sasaran,” katanya.
Dong Wook berkongsi perkara tersebut ketika hadir menjadi tetamu dalam sebuah program temu bual mempromosikan drama terbaharunya berjudul Divorce Insurance.
Dalam masa sama dia juga berharap penonton dapat ke pawagam sebagai tanda sokongan terhadap dirinya.
“Kalau bukan kerana karakter filem ini, ada boleh datang menonton disebabkan saya,” ujarnya.
Harbin gagal di pawagam susulan ia ditayangkan pada hari sama dengan filem berjudul Dark Nuns yang kini menjadi bualan ramai.
Harbin merupakan filem dengan genre biografi yang berlatar belakangkan sekitar tahun 1909.
Ia mula menjalani penggambaran pada tahun 2023. – Agensi