Penyanyi Lee Hae Ri yang juga merupakan seorang anggota kumpulan duo Davinchi mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga pada Julai depan.
Hae Ri berkongsi berita tersebut melalui sepucuk surat yang dimuat naik di laman Instagram, namun tidak mendedahkan identiti lelaki pilihannya.
“Bagaikan satu mimpi apabila mahu berkongsi cerita ini… saya akan berkahwin.
“Lelaki itu seorang yang baik dan saya belajar banyak perkara daripadanya. Apabila kami bersama saya sentiasa rasa gembira.
“Dia seorang yang menghormati dan mengambil berat tentang saya. Saya akan menggembirakan dia dan sentiasa bersamanya,” jelas Hae Ri.
Sementara itu, agensi Wakeone yang mewakili Hae Ri memaklumkan majlis perkahwinan tersebut hanya akan dihadiri oleh keluarga terdekat dan tunang penyanyi itu bukanlah seorang selebriti.
“Majlis akan diadakan secara kecil-kecilan dan hanya dihadiri oleh keluarga, saudara mara dan teman rapat.
“Kami berharap semua dapat faham mengapa dia merahsiakan identiti tunangnya, lelaki itu bukanlah seorang selebriti,” jelas kenyataan agensi tersebut. – Agensi
