SEOUL, 4 JUN – Lee Jae-myung secara rasmi memulakan penggal lima tahun sebagai Presiden Korea Selatan susulan pengesahan kemenangannya dalam pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC), lapor Agensi Berita Yonhap.
Lee secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai presiden pada jam 6:21 pagi, sejurus selepas kelulusan rasmi daripada NEC dalam satu sesi pleno.
Beliau memegang jawatan tertinggi negara tanpa melalui tempoh peralihan, memandangkan pilihan raya awal telah diadakan pada Selasa bagi menggantikan bekas Presiden Yoon Suk Yeol, yang digugurkan selepas percubaan untuk melaksanakan undang-undang tentera gagal.
Tugas sebagai presiden, termasuk selaku ketua angkatan tentera diserahkan kepadanya oleh Pemangku Presiden Lee Ju-ho.
Lee, calon dari Parti Demokratik (DP) memenangi pilihan raya dengan meraih 49.42 peratus undi, menewaskan pencabarnya dari Parti Kuasa Rakyat (PPP) Kim Moon-soo yang memperoleh 41.15 peratus.
Pada hari pertamanya, Lee akan mengangkat sumpah dalam satu majlis pelantikan ringkas yang diadakan di Bangunan Dewan Negara pada jam 11 pagi. – Bernama/Yonhap
