Aktor popular Korea Selatan, Lee Jong Suk mencuri perhatian apabila dilihat menghadiri konsert teman wanitanya iaitu penyanyi IU yang berlangsung di SKPO Dome, Seoul baru-baru ini.
Jong Suk, 34, dilihat hadir bersama rakan baiknya yang juga aktor Shin Jae Ha duduk di bahagian tempat duduk biasa sepanjang konsert yang berlangsung selama empat jam itu.
Memetik kenyataan mStar, kehadiran aktor itu menjadi bualan ramai kerana sebelum ini dia dan IU cuba mengelak daripada bercakap tentang hubungan mereka selain tidak pernah dilihat keluar bersama.
Susulan itu, peminat meluahkan rasa teruja melihat perkembangan hubungan cinta mereka selain memuji keberanian Jong Suk yang muncul secara terbuka.
Ini juga bukan kali pertama Jong Suk menunjukkan sokongan terhadap IU, 31, malah pernah meluahkan perasaan terhadap teman wanitanya itu hantaran di media sosial.
“IU membuatkan saya ingin menjadi seorang lelaki yang lebih baik,” katanya.
Pasangan itu dilaporkan mula menjalinkan hubungan cinta sejak Disember 2022. – Agensi