Friday, February 7, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lee: kelegaan untuk semua tetapi ada risiko

    SINGAPURA, 1 JUN – Satu kelegaan besar untuk semua, namun tentunya ia bukanlah tanpa risiko, kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, berkaitan lebih banyak langkah pemutus rantaian yang akan ditarik balik bermula esok (2 Jun), menyaksikan pembukaan semula tiga perempat sektor ekonomi dan satu pertiga pekerja kembali bekerja.

    “Jumlah kes harian dalam komuniti telah menurun dengan ketara. Lebih ramai pesakit kini pulih dan telah discaj berbanding dengan mereka yang masih menerima rawatan. Bagaimanapun, masih jauh lagi untuk COVID-19, dihapuskan,” kata Lee dalam hantaran terkini Facebooknya.

    Sehingga tengah hari ini, Singapura mengesahkan 408 kes baru COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes 35,292 dengan kesemua kes baru melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama, dan tiada kes melibatkan komuniti. Sejumlah 21,699 pesakit atau kira-kira 63 peratus daripada jumlah semalam 34,884, telah pulih sepenuhnya.

    Dengan ramai yang mahu untuk bertemu rakan-rakan di sekolah, melawat ibu bapa dan atuk serta nenek, Lee menasihatkan yang mereka perlu terus untuk ‘berhati-hati’ dan ‘berjaga-jaga’.

    “Teruskan berjaga-jaga. Kekalkan jarak selamat, pakai penutup mulut dan hidung ketika di luar dan di tempat kerja, jaga kebersihan diri dan kerap basuh tangan. Elakkan tempat ramai orang dan perhimpunan.

    “Jika kita lakukan semua ini, kehidupan akan dapat berlangsung lebih atau kurang normal, selepas pemutus rantaian. Kita tidak mahu kes COVID-19 meningkat semula, dan terpaksa diperketatkan semula,” katanya.

    “Walaupun selepas vaksin ditemui, kesemuanya tidak akan dengan mudahnya kembali seperti sebelumnya. COVID-19 telah mendedahkan betapa rapuhnya gaya hidup kita. Tetapi ia juga telah memberikan kita peluang, untuk membuktikan ketersediaan kita, dan menjadi lebih kuat,” katanya.

    Dengan berakhirnya pemutus rantaian lapan minggu yang bermula 7 April, perdana menteri Singapura telah sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, kerana melaksanakan peranan mereka, sehingga negara itu kini boleh dibuka semula dengan selamat. –Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda