Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lee sumbang 200 juta won bantu pesakit

    Ahli kumpulan Stray Kids, Lee Know, meraikan hari lahirnya dengan membuat sumbangan besar sebanyak 200 juta won (AS$145,000), sekali gus menyalurkan kasih sayang dan perhatiannya kepada mereka yang memerlukan.

    Lee Know menyumbangkan 100 juta won kepada Hospital Samsung Seoul dan 100 juta won lagi kepada organisasi perlindungan kucing, Nabiya Saranghae iaitu sebuah kumpulan yang berdedikasi untuk menyelamat dan menjaga kucing terbiar.

    Menurut laporan Allkpop, sumbangan Lee Know kepada Hospital Samsung Seoul akan digunakan untuk menampung kos rawatan seperti pembedahan dan pemindahan organ bagi pesakit dewasa serta kanak-kanak yang menghidap penyakit serius.

    Sementara itu, sumbangannya kepada Nabiya Saranghae akan digunakan bagi membiayai operasi menyelamat, perlindungan, dan penjagaan kucing jalanan.

    “Terima kasih kepada sokongan hangat para peminat pada hari istimewa ini, saya dapat berkongsi dengan cara yang bermakna. Saya benar-benar berharap sumbangan ini sampai kepada mereka yang memerlukan dan membawa keselesaan serta kekuatan kepada semua kehidupan berharga yang sedang menghadapi kesukaran,” kata Lee.

    Tindakan mulia ini meneruskan komitmen jangka panjang Lee Know terhadap kerja kebajikan.

    Pada Januari 2024, beliau pernah menyumbangkan sebanyak 100 juta won kepada program Tindak Balas Krisis Makanan Global World Vision dan menjadi ahli termuda dalam Bob Pierce Honor Club organisasi tersebut.

    Manakala, pada awal tahun ini, April 2025, Lee bersama ahli Stray Kids lain turut menyumbangkan 800 juta won bagi membantu pemulihan kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan di wilayah Gyeongnam dan Gyeongbuk, Korea.

    Di samping itu, Stray Kids kini sedang bersiap sedia untuk kemunculan semula mereka dengan pelancaran SKZ IT TAPE: DO IT pada 21 November, menandakan satu lagi bab dalam perjalanan rekod cemerlang kumpulan tersebut. – Agensi

    Lee Know, meraikan hari lahirnya dengan membuat sumbangan besar berjumlah 200 juta won. – Allkpop
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda