LONDON, 22 APRIL – Leeds United dan Burnley berjaya dipromosikan ke Liga Perdana Inggeris semalam selepas Sheffield United yang bergelut terpaksa berpuas hati untuk beraksi dalam saingan play-off Liga Kejohanan.
Leeds, yang kali terakhir beraksi di divisyen utama pada musim 2022/2023, membelasah Stoke 6-0 di Elland Road dengan Joel Piroe menjaringkan empat gol.
Skuad kendalian Daniel Farke sedia maklum bahawa jika Sheffield United gagal menewaskan Burnley dalam perlawanan lewat, mereka akan kembali ke Liga Perdana Inggeris.
Ketua pasukan, Josh Brownhill menjaringkan dua gol untuk Burnley yang dibimbing oleh Scott Parker, sekali gus memastikan pasukan itu kembali segera ke pentas utama bola sepak England.
Leeds dan Burnley masing-masing mengumpul 94 mata dan kini tidak lagi mampu dikejar oleh Sheffield United yang mengutip 86 mata dan hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.
Sheffield United dijamin menamatkan musim di tempat ketiga namun mereka perlu berjuang untuk merebut satu lagi tempat ke Liga Perdana Inggeris menerusi perlawanan play-off. – AFP
