Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Legal & General umum perkongsian baharu

    LONDON, 21 Feb – Legal & General, kumpulan perkhidmatan kewangan FTSE 100 dan pembekal insurans rumah yang terkemuka, hari ini mengumumkan satu perkongsian teknologi baharu dengan Slice Labs Inc bertujuan untuk menawarkan saranan insurans perkongsian rumah atas permintaan yang baharu untuk pelanggannya.

    Beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan satu peningkatan di dalam populariti insurans atas permintaan yang membolehkan pelanggan untuk menggunakan sebuah aplikasi mudah alih untuk membeli insurans bagi melindungi barangan peribadi, kereta atau rumah mereka apabila berada dalam keadaan ‘berisiko’.

    Insurans atas permintaan menawarkan fleksibiliti perlindungan yang mudah dan sesuai kepada pelanggan untuk membeli dan membayar hanya untuk apa yang mereka perlukan dan apabila mereka memerlukannya sahaja.

    Ditubuhkan pada Oktober 2015, Slice Labs menyediakan penawaran insurans yang khusus untuk kos perkongsian rumah.

    Kedua-dua syarikat itu sedang bekerjasama dalam membangunkan aplikasi web dan mudah alih, serta menggunakan data besar, AI, dan pembelajaran mesin bagi membangunkan produk perkongsian rumah.

    Cheryl Agius, Ketua Pegawai Eksekutif bagi bahagian Insurans di Legal & General berkata, perkongsian baharu mereka dengan Slice akan membolehkan syarikat itu untuk menggunakan teknologi terkini yang secara asasnya akan mengubah cara orang ramai membeli insurans.

    “Cadangan insurans ini merupakan sebahagian daripada strategi kami untuk terus mengubah insurans dengan penyelesaian yang diterajui oleh data dan teknologi yang meningkatkan pengalaman pelanggan.” tambahnya lagi.

    Sementara itu Tim Attia, Ketua Pegawai Eksekutif bagi Slice Labs berkata mereka berbesar hati untuk bekerjasama dengan satu daripada kumpulan insurans yang terbesar di United Kingdom, ketika mereka memanfaatkan platform ICS syarikat berkenaan.

    “Pasaran perkongsian rumah di United Kingdom sangat memerlukan insurans atas permintaan. Oleh itu kami berbangga untuk bekerjasama dengan Legal & General agar ia terlaksana.

    “Kami melihat projek awal ini sebagai satu pintu masuk kepada pembangunan produk insurans atas permintaan dan insurans tradisional yang lain,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda