Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Legasi Generasi perkasa kesedaran positif belia

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Seiring merentasi zaman yang semakin mencabar, keruntuhan akhlak moral, kejatuhan insititusi peradaban manusia, dan kehilangan orientasi belia yang berlaku di sekeliling kita memerlukan penyelesaian tertentu di mana salah satunya adalah melalui ilmu yang bermanfaat.

    Sehubungan itu, sebuah keusahawanan sosial tempatan yang telah ditubuhkan sejak Mac 2021, dikenali sebagai Legasi Generasi, telah mengadakan satu inisiatif program Race for Awareness 3.0 bertempat di Taman Mahkota Jubli Emas di ibu negara, baru-baru ini.

    Dengan penglibatan lebih 30 orang belia dan beliawanis, program berkenaan telah menggabungkan elemen-elemen daripada Amazing Race atau Treasure Hunt dengan tujuan mencipta satu platform bagi golongan muda untuk meningkatkan kesedaran tentang isu-isu sosial yang relevan pada saat ini.

    Dalam perkongsian kepada Media Permata, pengasas Legasi Generasi, Awang Mohammad Haziq Nizar bin Ibrahim, selaku pengerusi program berkenaan antaranya menjelaskan para peserta berpeluang untuk mengikuti sesi pengembaraan melalui laluan yang telah dirancang dengan teliti, di mana mereka akan dihadapkan dengan pelbagai stesen atau rintangan yang berkaitan dengan isu-isu sosial seperti kemiskinan, perubahan iklim, kesihatan mental dan sebagainya.

    “Setiap stesen akan memberi peserta peluang untuk memahami dengan lebih mendalam tentang isu tersebut melalui aktiviti atau cabaran yang berkaitan. Dengan cara itu, program tersebut tidak hanya menyediakan pengalaman yang menyeronokkan dan mencabar seperti Amazing Race atau Treasure Hunt, tetapi juga memberikan ruang untuk pembelajaran dan refleksi yang membawa kepada kesedaran serta tindakan positif terhadap isu-isu sosial yang relevan,” ujarnya.

    Para peserta bergambar ramai bersama sijil masing-masing pada program berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara para peserta yang telah mengikuti program tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara para peserta yang telah mengikuti program tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    MEMPERSIAPKAN GOLONGAN BELIA BERDAYA TINDAK POSITIF

    Dalam pada itu, Awang Mohammad Haziq turut menambah bahawa tujuan dilaksanakan program berkenaan antaranya agar para peserta memahami dengan lebih mendalam isu-isu sosial yang berlaku di sekeliling mereka. Ini tidak hanya akan meningkatkan pengetahuan mereka, tetapi juga akan membantu mereka mengenali betapa pentingnya peranan mereka dalam membawa perubahan positif dalam masyarakat.

    “Melalui pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, mereka juga secara tidak langsung dapat memperkasakan kemahiran-kemahiran seperti kerjasama, kepimpinan, dan pengucapan awam di samping menyediakan peluang golongan belia berkenaan untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang memerlukan pengambilan keputusan, penyampaian pendapat dan penyelesaian masalah. Ini akan membantu meningkatkan keyakinan diri mereka dan mempersiapkan mereka untuk menjadi individu yang lebih berdaya tindak dalam menangani cabaran sosial,” tekannya lanjut.

    PENTINGNYA PERANAN GOLONGAN MUDA

    Menyentuh mengenai peranan golongan muda, Awang Mohammad Haziq menegaskan bahawa golongan tersebut perlu bergerak melakukan perubahan positif dari semasa ke semasa dalam sama-sama menanai amanah membangunkan negara secara holistik.

    “Dengan adanya semangat yang tinggi golongan muda ini bersama cetusan idea-idea segar serta kreativiti mereka amat berguna untuk menangani masalah-masalah sosial seperti kemiskinan, pendidikan, kesihatan mental dan lain-lain. Peranan mereka dalam aktiviti sosial dan kegiatan komuniti tidak hanya meningkatkan kesedaran tentang isu-isu sosial, tetapi juga memupuk solidariti dan daya tindak di kalangan rakan sebaya dan masyarakat setempat,” ujarnya.

    Beliau turut menambah, melalui kemahiran teknologi dan kecekapan digital, golongan muda mampu memperluaskan liputan kesedaran isu-isu sosial yang penting melalui media sosial dan platform digital lain sehingga boleh memberikan impak yang signifikan dalam membangunkan kesedaran dan sokongan masyarakat.

    “Selain itu, mereka juga berperanan menyokong inisiatif komuniti dalam memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan. Dengan kemampuan kepimpinan, semangat sukarelawan dan kerjasama yang aktif, generasi muda khususnya di Negara Brunei Darussalam mampu membentuk masa depan di mana setiap individu dihormati dan disokong dalam mencapai potensi penuh mereka, sambil menangani cabaran sosial bersama-sama sebagai satu masyarakat yang bersatu padu,” tekannya penuh harapan.

    DI SEBALIK LEGASI GENERASI

    Berkongsi pandangan detik penubuhan Legasi Generasi, Awang Mohammad Haziq menyatakan sememangnya bertujuan untuk memperkukuhkan identiti individu, terutamanya golongan belia dan remaja yang menghadapi pelbagai cabaran sosial seperti buli, kesihatan mental dan faktor persekitaran.

    “Kami melaksanakan program-program seperti ceramah, bengkel dan program-program lain dengan harapan agar setiap individu dapat mengatasi masalah yang mereka hadapi sebelum ia menjadi lebih serius, disebabkan kekurangan sokongan atau pengetahuan yang tepat dalam menanganinya. Itulah antara salah satu sebab terkuat tercetusnya idea untuk menubuhkan Legasi Generasi,” jelasnya.

    Antara program yang telah dilaksanakan ialah ceramah mengenai Mental Health: The Silent Battle; perkongsian terbuka menerusi Reflection Upon Journey; program bantuan kepada pekerja asing sewaktu pasca COVID-19; perkhemahan yang menekankan kesihatan mental dan nilai kekeluargaan yang disampaikan oleh golongan ahli psikologis menerusi program Legasi Generasi Camp: Thrive dan Legasi Generasi Camp: Lesgor yang dilaksanakan sekitar tahun 2022 dan 2023.

    “Dengan menggenggam visi Legasi Generasi iaitu ‘membina generasi yang berkualiti dengan nilai akhlak yang tinggi dan seterusnya menangani stigma masyarakat dalam institusi kekeluargaan’ dan misinya ‘menyediakan platform untuk isu kekeluargaan dan stigma dengan mengadakan program, ceramah dan bengkel’, kami pastinya berharap adanya Legasi Generasi ini menjadi platform terutama sekali kepada belia sebagai sistem sokongan dan medan menyokong pembangunan diri pada jangka masa pendek.

    “Namun apa yang pasti, kami juga begitu berharap Legasi Generasi ini dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada orang sekeliling dengan ilmu dan nilai-nilai yang tertanam dalam diri melalui pembelajaran dan pengalaman pada jangka masa panjang,” ujarnya di akhir temubual yang kini turut memiliki lebih 15 orang ahli di bawah Legasi Generasi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda