NAPLES, Itali, 2 Nov – Sergio Aguero menjadi penjaring terbanyak sepanjang masa Manchester City dan digambarkan sebagai ‘legenda’ oleh jurulatih Pep Guardiola, yang menyaksikan pasukannya menempah tempat dalam 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan 4-2 di Napoli awal pagi tadi.
Pemain dari Argentina berusia 29 tahun itu mengatasi rekod lama 177 jaringan yang direkodkan oleh Eric Book pada tahun 1930-an apabila dia menjaringkan gol ketiga City di Naples selepas 69 minit perlawanan.
“Apa yang dicapainya menjadikannya seorang legenda, dia dicatatkan dalam sejarah, jadi saya memberitahunya untuk menikmatinya,” kata Guardiola.
Pendahulu Liga Perdana itu hanya memerlukan satu mata untuk melengkapkan kemunculan mereka dalam pusingan kalah mati bagi tahun kelima berturut-turut, dengan berbaki dua perlawanan.
Tetapi kemenangan keempat City dari empat perlawanan dalam Kumpulan F mengesahkan kemaraan mereka dengan 12 mata.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P21-A_031117.jpg)
Napoli menghuni tangga ketiga, enam mata di belakang pasukan dari Ukraine, Shakhtar Donetsk yang menewaskan Feyenoord dari Belanda 3-1, dan menghampiri penyingkiran dari persaingan elit Eropah.
“Saya gembira kami berada dalam 16 pasukan terakhir. Ia adalah satu kejayaan hebat pada malam ini,” kata Guardiola.
Lorenzo Insigne membuka jaringan bagi Napoli selepas minit ke-21 dengan pemain pertahanan Nicolas Otamendi menyamakan kedudukan bagi pasukan City pada minit ke-35.
John Stones dari City memastikan pasukan pelawat di depan tiga minit selepas rehat. Tetapi penyokong tuan rumah bersorak selepas Jorginho menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-2 selepas minit ke-62.
Aguero kemudian menjaringkan gol ketiga tujuh minit kemudian selepas Leroy Sane membuat gerakan menarik.
Bola jatuh tepat kepada pemain dari Argentina itu yang menjaringkan gol yang memecahkan rekod kelab, sebelum Raheem Sterling memberikan kegembiraan pada masa kecederaan. – AFP