BRUSSELS, 14 JULAI – Eddy Merckx, pelumba berbasikal paling berjaya dalam sejarah, dimasukkan ke hospital semula untuk menjalani pembedahan bagi merawat komplikasi berkaitan penggantian pinggul baharu, menurut sumber terdekat legenda Belgium itu hari ini.
Merckx, 80, mengalami pinggul patah selepas terjatuh dari basikal pada Disember lalu.
Satu prostesis titanium telah dipasang, namun kemudian digantikan dengan versi bersimen yang turut menimbulkan masalah baharu.
Pemenang lima kali perlumbaan Tour de France itu dijangka akan berada di hospital selama kira-kira dua minggu.
Merckx turut mencatat lima kemenangan dalam perlumbaan Giro d’Italia, satu kejuaraan Vuelta a Espana, serta memenangi pelbagai perlumbaan klasik satu hari dan tiga gelaran dunia.
Beliau juga pernah mengalami kecederaan serius akibat terjatuh pada musim luruh 2019, yang memaksanya dirawat di hospital selama beberapa hari. – AFP
