Legenda Bosoi Muncung

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

Bertapa di air terjun dengan asal usul keturunannya tidak diketahui, kisah kekebalan dan kekuatan Awang Muncung yang disebut kira-kira 100 tahun lalu masih meniti dari bibir ke bibir penduduk Kampung Batang Mitus, Daerah Tutong.

Pemangku Ketua Kampung Batang Mitus, Awang Suhili bin Alas berkata orang-orang tua sebelumnya pun tidak dapat memastikan siapa sebenarnya Awang Muncung dan ia masih menjadi satu legenda kerana kisahnya berkaitan dengan sebuah wasai yang digelar sempena namanya, iaitu Bosoi Muncung.

Wasai atau Bosoi Muncung dalam Bahasa Dusun sudah lama wujud di kampung itu, yang dulunya jarang dikunjungi oleh orang-orang kampung, namun sejak tahun 2017 penduduk kampung cuba menerokainya semula, mengunjungi dan membersihkannya agar ia dapat dimajukan untuk kegunaan riadah dan pelancongan sekali gus mengenali sejarah di sebaliknya.

Menurut Awang Suhili, legenda Bosoi Muncung bermula apabila seorang jejaka bernama si Muncung mahu bertapa di kawasan air terjun tersebut selama tiga hari tiga malam.

Menurut legenda, selesai sahaja si Muncung bertapa dia pun pulang ke rumahnya mungkin di sekitar kampung tersebut, dia telah menunjukkan tingkah laku yang ganjil daripada biasanya, katanya ketika ditemu bual oleh penulis semasa di wasai tersebut.

Keunikan Bosoi Muncung yang terletak di Kampung Batang Mitus.

Awang Suhili (dua, kiri) dan Awang Ibrahim (empat, kanan) ketika bergambar bersama ahli jawatankuasa Bosoi Muncung Explorer Management and Services.

Katanya lagi, apa yang menarik, si Muncung dikatakan mempunyai kekuatan luar biasa sehingga dapat mengangkat barang-barang berat dan memiliki kekebalan seperti dia tidak lut oleh senjata seperti parang.

“Kekuatannya itu lebih luar biasa seperti apabila selalunya orang kampung ini kalau mengangkat kayu untuk tiang rumah biasanya memerlukan dua ke tiga orang untuk mengangkat, akan tetapi si Muncung mengangkatnya hanya seorang sahaja,” jelas Awang Suhili.

Sesudah si Muncung balik ke kampungnya, orang kampung menamakan wasai tersebut Bosoi Muncung yang terletak di tapak pertanian Kampung Batang Mitus.

Laluan mencabar perlu pemantauan

Perjalanan menuju ke wasai tersebut memakan masa kira-kira 15 ke 20 minit, tertakluk kepada kepantasan seseorang.

Untuk menuju ke wasai itu, jalan yang perlu dilalui agak mencabar sedikit kerana sepanjang perjalanan banyak batu berlumut yang licin, kayu-kayu besar, serta hutan yang sedikit gelap kerana pancaran matahari tidak menembusi hutan kanopi yang rimbun.

Akhir-akhir ini, penduduk kampung dan sekitarnya telah mula memasuki kawasan ini untuk tujuan beriadah, berjoging, jungle trekking, 4×4 dan ATV.

Bagi memantau kemasukan ke sana, satu jawatankuasa juga telah ditubuhkan khusus untuk menjadi peneraju dan memajukan wasai iaitu Bosoi Muncung Explorer Management and Services di bawah tadahan majlis perundingan kampung (MPK).

Salah seorang ahli Bosoi Muncung Explorer Management and Services, Awang Ibrahim bin Yumbah semasa ditemui menjelaskan bahawa untuk tidak menyalahi mana-mana peraturan anjuran, pihak mereka telah menubuhkan syarikat berlesen itu agar dapat menjalankan apa-apa kegiatan di dalamnya, dan kawasan ini juga dijaga dan dipulihara oleh belia-belia dan penduduk Kampung Batang Mitus dan Kampung Kebia.

Peluang penyelidikan, pembangunan

Awang Ibrahim mengongsikan bahawa hutannya yang masih lagi belum diterokai mungkin akan dapat memberi peluang kepada pihak sekolah atau institusi tinggi membuat penyelidikan dan kajian di sana.

Selain daripada itu, katanya, terdapat juga sebahagian kawasan di luarnya telah diambil oleh beberapa buah syarikat yang akan menanam buah-buahan ataupun bercucuk tanam, jadi kawasan itu mungkin boleh untuk dipulihara sebagai tempat rehat dan beriadah.

Selain itu, Bosoi Muncong Explorer Management and Services bercita-cita untuk menjadikan tempat berkenaan sebagai trek kebangsaan dan yang demikian mereka ingin bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) untuk mencari laluan yang melebihi 50km, di mana pada masa ini baru 21km yang diterokai dan itu pun melalui trek dari Bebuloh.

Sehubungan dengan itu, mana-mana pengunjung atau mereka yang suka berjoging yang ingin memasuki kawasan tersebut adalah disarankan supaya dapat melaporkan kepada pemangku ketua kampung atau ahli Jawatankuasa Bosoi Muncong Explorer Management and Services terlebih dahulu bagi tujuan keselamatan.

Manakala dari segi kebersihan, sepertimana kawasan riadah yang lain juga, diharapkan supaya para pengunjung tidak membuang sampah di merata tempat, tidak dibenarkan untuk memotong kayu dan mengambil apa jenis tumbuhan yang terdapat di kawasan ini.