Saturday, July 6, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Legenda buaya terus hidup di Sungai Congo

    DR CONGO – Buaya dengan muncung runcing yang menggerunkan dikatakan dapat membuat lampu suluh meletup hanya dengan pandangan matanya. Begitulah legenda di Republik Demokratik Congo.

    Di sepanjang Sungai Congo, kisah sedemikian masih hidup dalam kalangan nelayan Banunu, walaupun tradisi dan kehidupan mereka tidak seperti dahulu lagi.

    Michel Koko, yang dikenali sebagai Lebe, 52 tahun bekerja sebagai nelayan selama 10 tahun mengikuti jejak ayahnya.

    Kejayaan memburunya termasuk buaya dari pelbagai saiz, caiman dan biawak yang boleh membesar sehingga lebih tiga meter serta pelbagai jenis ikan.

    Congo, pada 4,700 kilometer panjang, merupakan sungai kedua terpanjang di Afrika selepas Sungai Nil.

    Pemburu legenda, Papa Baron Missiki, 91, bergambar dengan seekor buaya dan lembingnya di atas perahu di Sungai Congo di DR Congo pada 7 April. – AFP
    Seekor buaya kelihatan di pasar Lingunda di Mbandaka, DR Congo. – AFP
    Seorang lelaki memegang telur Pauline. – AFP
    Pauline, seekor buaya Nil yang ditangkap pada tahun 1953 dan dibawa ke taman botani Eala pada tahun 1978. – AFP
    Dua ekor buaya kelihatan di sekitar Mbandaka pada 18 April. – AFP
    Gambar AFP

    Koko adalah seorang Libinza, suku yang mempunyai kaitan dengan Banunu-Bobangi, yang sejak abad ke-18 tinggal di tebing sungai di wilayah Equateur di barat laut dan wilayah Mai-Ndombe berhampiran ibu kota Kinshasa.

    Suku itu terkenal dengan kepercayaan karut memancing dan memburu luar biasa.

    “Ayah saya meninggalkan lembingnya kepada saya,” kata Koko, yakin bahawa itulah sebabnya dia hampir tidak pernah terlepas sasarannya.

    Nelayan Banunu sering mewarisi lembing dan objek nenek moyang yang dipercayai mempunyai makna simbolik keagamaan.

    Namun orang-orang tua juga mewariskan ‘kebolehan menilik’ mereka.

    Dengan bantuan arak palma, kacang makasu kola atau buah-buahan mondongo dari hutan, mereka mendakwa dapat menilik masa depan.

    “Jika mereka melihat hanya kematian, mereka tidak akan memburu pada hari itu,” kata Koko, di Mbandaka, ibu kota wilayah Equateur yang terletak kira-kira 700 kilometer dari Kinshasa.

    Dia memiliki pengetahuan mendalam tentang buaya. Dia tahu bagaimana berkomunikasi dengan buaya, mengumpan buaya dengan meniru tangisan binatang itu, katanya.

    Buaya ‘mbama’ dengan muncung panjang akan memberi respons de-ngan mengeluarkan air dari mulutnya.

    “Itulah masa untuk menangkapnya,” kata Koko.

    Tetapi, dengan buaya ‘ngando’ yang bermuncung pendek, ia lebih susah.

    “Awda harus menempatkan diri awda di tengah pirogue (perahu lading) kerana ia boleh muncul dari mana-mana,” tambah pemburu itu.

    Haiwan tersebut mempunyai ‘penglihatan inframerah’ dan boleh memberikan renjatan elektrik, ujarnya.

    “Jika buaya menggigit awda, adalah penting awda tidak menjerit,” Koko mengingatkan.

    “Jika awda tidak berkata apa-apa, haiwan itu akan menganggap awda adalah batang pokok dan melepaskan awda.”

    Pada usia 91 tahun, Papa Baron Missiki mengenang hari-harinya memburu buaya, kerbau, kijang, gajah dan badak air.

    Dia kini telah bersara tetapi anaknya, yang juga dipanggil Missiki, meneruskan tradisi tersebut.

    Dengan rasa bangga terhadap komuniti dan pengalaman mereka, para nelayan menceritakan kisah mereka yang menimbulkan nostalgia sejak beberapa tahun lalu.

    Koko masih ingat apabila pemburuan buaya amat menguntungkan, ketika DRC dikenali sebagai Zaire antara tahun 1971 dan 1997.

    Presiden Mobutu Sese Seko berkuasa pada masa itu dan permintaan kulit buaya amat dicari-cari disebabkan mempunyai keajaiban seperti dapat melindungi keluarga daripada roh jahat selain juga digunakan dalam industri fesyen.

    “Kami akan pergi memburu dengan beg garam dalam kanu untuk memastikan kulit mereka terpelihara,” kata Koko.

    “Ia seperti emas pada masa itu, kami tidak peduli tentang daging reptilia itu.”

    Pada masa kini, penjualan kulit buaya liar ‘dilarang’ untuk melindungi spesies tersebut, tambah nelayan itu.

    Dia mengatakan jumlah buaya telah berkurangan di sungai, yang menurutnya disebabkan oleh penangkapan ikan berlebihan, perubahan iklim dan peningkatan jumlah bot di perairan tersebut.

    “Kami hanya boleh memburu buaya kerdil yang dipanggil ‘ngokia’ (tempatan) dan kadang-kadang biawak yang dikenali sebagai mbambi,” kata Koko.

    “Melihat betapa mudahnya buaya kerdil berkembang biak, adalah mustahil spesies ini akan pupus,” katanya.

    Untuk menyara keluarga dan membiayai kehidupan mereka, nelayan bekerja dalam bidang perniagaan tempatan, berdagang atau melabur dalam penternakan ikan untuk meningkatkan pendapatan mereka.

    “Bagaimana kita hidup tanpa menjual haiwan liar?” tanya Lucie, seorang penjual di pasar Lingunda di Mbandaka.

    “Ia membantu kami membayar yuran sekolah anak-anak, sewa dan kehidupan sehari-hari.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...