Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Legenda gusti Hulk Hogan meninggal dunia

    ISTANBUL, 25 JULAI – Legenda gusti profesional, Hulk Hogan atau nama sebenarnya Terry Gene Bollea, meninggal dunia pada usia 71 tahun di Florida, Amerika Syarikat (AS) kelmarin, lapor Anadolu Ajansi.

    Jabatan Polis Clearwater memaklumkan bahawa pegawai polis dan anggota bomba telah bertindak balas terhadap panggilan kecemasan perubatan melibatkan Hogan pada waktu pagi. Beliau disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke sebuah hospital berdekatan.

    Tiada punca rasmi mengenai kematiannya diumumkan setakat ini; namun, portal hiburan Amerika TMZ melaporkan ia disebabkan serangan jantung.

    World Wrestling Entertainment (WWE) menerusi hantaran di platform X turut merakamkan ucapan takziah mengatakan, “WWE berdukacita menerima berita pemergian WWE Hall of Famer Hulk Hogan. Seorang daripada tokoh budaya pop paling dikenali, Hogan membantu WWE mencapai pengiktirafan global pada era 1980-an,” menurut kenyataan itu.

    Presiden AS, Donald Trump turut memberi penghormatan kepada Hogan, yang disifatkannya sebagai ‘sahabat baik’ dan mengambil maklum sokongan politik Hogan. “Hulk Hogan merupakan penyokong kuat MAGA – gagah, tabah, bijak, namun berjiwa besar,” tulis Trump di Truth Social.

    Hogan menjadi antara ikon budaya pop paling terkenal dan membantu WWE mencapai pengaruh global pada tahun 1980-an melalui fenomena ‘Hulkamania’. Beliau meraih enam kejuaraan WWE termasuk rekod mempertahankan gelaran selama 1,474 hari menjadi catatan antara yang terpanjang dalam sejarah syarikat itu. Selain dunia gusti, Hogan turut muncul dalam filem termasuk Rocky III dan No Holds Barred.- Bernama/Anadolu

    Hulk Hogan semasa dalam satu perbicaraan di mahkamah di St Petersburg, Florida pada March 2016. Beliau telah meninggal dunia kelmarin. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda