Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Legenda tabik Liverpool

    LIVERPOOL. 8 Mei – Pemain legenda Liverpool, Robbie Fowler dan Michael Owen menyanjung kebangkitan menakjubkan bekas kelab mereka pada separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona sebagai malam Eropah paling gemilang di Anfield.

    Pasukan kendalian Juergen Klopp mengatasi defisit 0-3 pada aksi pertama untuk layak ke final dengan kemenangan besar 4-0 ke atas juara Sepanyol itu, awal pagi tadi.

    Kejayaan itu satu daripada catatan terbaik sejarah Liga Juara-Juara dan Fowler percaya ia patut dilabel sebagai kemenangan terhebat Reds di Eropah di stadium yang terkenal itu.

    Penyerang itu menganggap kejayaan Reds mengecewakan Lionel Messi dan rakannya lebih bagus berbanding kemenangan suku akhir Piala Eropah ke atas St Etienne pada 1977, yang dianggap aksi terbaik pertandingan itu di Anfield sebelum ini.

    “Apabila anda bercakap mengenai malam terhebat, inilah yang paling hebat. Ia terlalu mengagumkan,” kata Fowler yang dilahirkan di Liverpool kepada BT Sport.

    “Sebelum perlawanan, kami bercakap mengenai semua pujian melambung mengenai Messi. Kini kami kehilangan kata-kata mengenai Liverpool.

    “Saya terlalu bangga dan gembira menjadi sebahagian daripada Liverpool. Setiap perkara mengenai Liverpool malam ini terserlah.”

    Bekas rakan serangan Fowler, Owen memuji anak buah Klopp susulan musim mereka yang mengagumkan, yang mungkin berkesudahan dengan kegemilangan Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2005.

    Liverpool turut berpeluang memenangi Liga Perdana Inggeris ketika mereka ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Manchester City menjelang pusingan terakhir musim Ahad ini.

    “Hanya bola sepak boleh melakukannya. Satu musim yang amat mengagumkan dan ia belum berakhir lagi,” jelas Owen.

    “Gelanggang ini sudah menyaksikan beberapa malam menakjubkan, malam Eropah dan ia mungkin yang terbaik.”

    Bekas pemain sayap Liverpool, Luis Garcia menyertai pujian terhadap wira pasukan itu.

    “Saya pernah melihat kebangkitan sebegini!” tulis Garcia dalam Twitter, merujuk kepada sumbangannya ketika ‘Keajaiban Istanbul’ mengatasi AC Milan pada 2005, apabila mereka bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk memenangi final Liga Juara-Juara menerusi penalti. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda