Friday, March 7, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Legenda tenis Australia, Fred Stolle meninggal dunia

    MELBOURNE, 6 MAC – Fred Stolle, pemenang dua gelaran major dan ahli tiga pasukan yang memenangi Piala Davis, telah meninggal dunia, kata Tennis Australia hari ini. Beliau berusia 86 tahun.

    Ketua Pegawai Eksekutif Tennis Australia, Craig Tiley menggambarkan Stolle ‘tokoh ikonik’ tenis sebagai pemain dan kemudiannya sebagai pengulas untuk Nine Network Australia dan penyiar Amerika Syarikat. Tiley tidak memberikan punca kematian.

    Tiley berkata Stolle adalah sebahagian daripada era kejayaan Australia pada 1960an ketika tenis beralih daripada sukan amatur kepada sukan profesional.

    “Legasi beliau adalah satu kecemerlangan, dedikasi dan kasih sayang yang mendalam terhadap tenis,” kata Tiley. “Impaknya terhadap sukan ini akan dikenang dan dihargai oleh semua yang berpeluang untuk menyaksikan sumbangannya.

    “Sebagai ahli bintang pasukan Piala Davis Australia, Fred memberi sumbangan yang besar kepada sukan ini selepas kerjaya cemerlangnya, sebagai jurulatih dan pengulas yang pintar.”

    Stolle kalah dalam lima final Grand Slam pertama yang disertainya – termasuk empat kali kepada rakan Australia Roy Emerson – sebelum menewaskan Tony Roche untuk memenangi Terbuka Perancis 1965. Beliau memenangi Terbuka AS pada 1966, menewaskan John Newcombe dalam final dan memegang ranking No. 1.

    Beliau memenangi 10 gelaran beregu lelaki di Grand Slam dari 1962-69. Beliau juga memenangi tujuh gelaran beregu campuran di majors.

    Stolle dilahirkan di Sydney tetapi tinggal di Amerika Syarikat selepas kerjaya sebagai pemain. – AFP

    Fred Stolle melambai selepas menerima trofi simbolik, tepat 50 tahun selepas memenangi kejohanan tenis Terbuka Perancis, di stadium Roland Garros, pada 30 Mei 2015. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda