Tuesday, December 5, 2023
23.1 C
Brunei

    -

    Legenda tenis Federer umum bersara

    GENEVA, 16 SEPT – Roger Federer akan bersara sebaik beraksi di Piala Laver minggu depan selepas mengakui kecederaan lutut telah memaksanya untuk menamatkan karier tenisnya.

    Penghormatan datang mencurah-curah untuk legenda Switzerland berusia 41 tahun daripada pesaingnya seperti Rafael Nadal, manakala Serena Williams mengalu-alukannya ke ‘kelab persaraan’.

    Federer, pemenang 20 kali gelaran Grand Slam dan salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman, telah tidak beraksi sejak kekalahan suku akhir di Wimbledon pada 2021, selepas menjalani pembedahan lutut ketiganya dalam tempoh 18 bulan.

    “Piala Laver minggu depan di London akan menjadi acara terakhir saya di ATP,” kata Federer dalam satu kenyataan di media sosial pada Khamis.

    “Perjalanan karier saya selama 24 tahun terakhir dalam jelajah adalah amat luar biasa,” tulisnya.

    Aksi Roger Federer memegang trofi kemenangan selepas menewaskan pemain Croatia Marin Cilic dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki pada kejohanan tenis Terbuka Australia di Melbourne, Australia 28 Januari yang lalu. – AP

    “Walaupun kadang-kadang terasa seperti ia berlalu dalam 24 jam, ia juga begitu mendalam dan ajaib sehingga seolah-olah saya sudah hidup sepanjang masa.”

    Masalah lutut Federer membatasnya kepada hanya tiga daripada 11 Grand Slam yang diadakan sejak awal 2020 dan dia berkata badannya sudah memberitahunya bahawa sudah tiba masanya untuk menutup tirai.

    “Saya telah bekerja keras untuk kembali ke acara kompetitif penuh,” tulisnya.

    “Tetapi saya juga tahu kapasiti dan had badan saya, dan mesejnya kepada saya sejak kebelakangan ini jelas.

    “Tenis telah mengajar saya supaya lebih bermurah hati daripada yang saya impikan, dan sekarang saya mesti menyedari bila masanya untuk menamatkan kerjaya kompetitif saya.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    India setuju tarik balik tentera dari Maldives

    NEW DELHI, 4 DIS – India telah bersetuju untuk menarik balik tenteranya dari Maldives, kata presiden kepulauan strategik itu, memenuhi janji yang dibuatnya menjelang...