WINTER HAVEN, 30 JAN – Taman tema Legoland Florida merancang untuk memberhentikan 234 pekerja terutamanya penghibur untuk menjadi lebih berdaya saing dalam pasaran taman tema Florida yang sedang berkembang pesat, kata pegawai syarikat.
Pusat peranginan taman tema di Winter Haven, Florida tersebut mengeluarkan notis kepada negeri Florida pada Jumaat lalu mengumumkan bahawa pemberhentian tetap akan bermula pada akhir Mac dan berlangsung hingga awal April.
Tiga perempat daripada pekerja yang disebut untuk diberhentikan adalah penghibur dan satu perlima lagi turut terlibat dalam bahagian hiburan taman tema itu, menurut notis itu.
Taman tema dengan kira-kira 1,500 pekerja itu dimiliki oleh Merlin Entertainment.
Jurucakap Merlin, Julia Estrada berkata dalam e-mel kelmarin bahawa perubahan itu akan membolehkannya beroperasi dengan lebih fleksibel dalam pasaran yang kompetitif dengan menggunakan syarikat luar untuk menyediakan sebahagian daripada hiburan sambil mengekalkan pasukan hiburan tersendiri yang telah sedia ada.
“Kami akan terus mempunyai tawaran hiburan tersendiri yang akan kami tingkatkan untuk memenuhi jenama dan pengalaman tetamu kami sepanjang tahun,” kata Estrada.
Selain taman bertema Lego, resort ini mempunyai taman bertemakan Peppa Pig, taman air dan akuarium yang akan dibuka tidak lama lagi.
Winter Haven terletak berhampiran dengan pesaing-pesaingnya seperti Bush Gardens Tampa Bay, Walt Disney World, Universal Orlando Resort dan SeaWorld Orlando. – AFP