SHANGHAI, 6 JULAI – Ribuan pelancong tempatan membanjiri Legoland pertama China yang dibuka secara rasmi di Shanghai kelmarin, menjadikannya taman tema terbaharu yang ingin meraih manfaat daripada ledakan pelancongan domestik.
Cawangan China bagi francais taman tema milik Britain itu merupakan Legoland terbesar di dunia.
Ia menarik kunjungan awal pengunjung yang berpusu-pusu ke pelbagai tarikan termasuk kereta api mini dan roller coaster bertemakan naga.
“Saya secara peribadi memang gemar bermain dengan blok Lego dan kami ada banyak set di rumah… jadi saya mahu datang ke Legoland secepat mungkin,” kata Shi, seorang penduduk berusia 35 tahun dari bandar berhampiran Hangzhou yang melawat taman tersebut bersama isteri dan anaknya.
Meskipun ekonomi China mengalami pertumbuhan perlahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perbelanjaan pelancong domestik meningkat sebanyak 18.6 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tahun lalu, menurut statistik rasmi.

“Sejak pandemik, saya jarang melancong ke luar negara,” kata Shi lagi, sambil menambah bahawa keluarganya kini mengunjungi taman tema di seluruh China ‘beberapa kali setahun’.
Peminat Lego yang teruja berpusu-pusu memasuki taman sebaik sahaja ia dibuka, dengan memakai baju bertemakan Lego dan mengibarkan bendera berjenama sambil menikmati kawasan seluas 318,000 meter persegi dalam cuaca panas terik.
Beijing telah mengumumkan subsidi bagi menjadikan pelancongan dalam negara lebih mampu milik kepada rakyat, selain menggesa kerajaan tempatan mempromosikan tarikan mereka secara agresif di media sosial.
Syarikat-syarikat turut mengambil maklum tentang ledakan pelancongan domestik itu dan mempercepatkan rancangan mereka di China.
Tarikan baharu ‘Spider-Man’ di Shanghai Disneyland telah memulakan pembinaan pada Mei lalu, manakala Warner Brothers dijangka membuka pengalaman Harry Potter di Shanghai menjelang 2027.
Syarikat gergasi permainan Hasbro pula berkata taman Peppa Pig berskala besar milik mereka di bandar itu kini berada ‘dalam fasa rekaan kreatif’.
Pengeluar mainan koleksi China, Pop Mart, turut membuka sebuah tarikan di Beijing yang menampilkan versi bersaiz sebenar bagi watak mainan popular mereka, Labubu.
“Setiap wilayah kini bersungguh-sungguh untuk memperluaskan industri pelancongan mereka dan semuanya mempunyai tarikan tersendiri,” kata Xu, seorang ibu bapa berusia 34 tahun yang melawat Legoland bersama anak-anaknya kelmarin. – AFP

