Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Leica Jerman rai 100 tahun dengan jualan rekod, rancang teroka telefon pintar

    FRANKFURT, 26 JUN – Pengeluar kamera Jerman, Leica meraikan ulang tahun ke-100 kamera 35mm pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran hari ini sambil melaporkan pertumbuhan kukuh dalam tahun kewangan terkininya, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Ketua Eksekutif Matthias Harsch memberitahu dpa bahawa jualan syarikat itu mencecah hampir €600 juta (AS$701 juta) dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac, sambil menyifatkannya sebagai ‘tahun yang benar-benar luar biasa’ bagi Leica.

    Leica berkembang ‘secara global’, kata Harsch, sambil menambah bahawa beliau turut yakin dengan prestasi tahun semasa meskipun berdepan konflik perdagangan antarabangsa.

    Memandangkan tiada pengeluaran tempatan lensa dan kamera di Amerika Syarikat – pasaran eksport penting – Leica telah menghantar jumlah besar produk itu lebih awal apabila tarif tinggi dijangka dikenakan.

    Harsch menjangkakan penyelesaian terhadap pertikaian perdagangan itu akan dicapai tidak lama lagi, sekali gus membolehkan syarikatnya memandang ke hadapan dengan ‘keyakinan tinggi’.

    Leica juga sedang meneroka segmen produk baharu, termasuk kemungkinan melancarkan telefon pintar dengan optik Leica untuk pasaran Eropah.

    “Akan ada sesuatu tidak lama lagi,” kata Harsch tanpa memperincikan lanjut.

    Setakat ini, Leitz Phone yang dibangunkan Leica dengan kerjasama Sharp hanya dijual di Jepun.

    Optik Leica juga digunakan dalam telefon pintar mewah keluaran pengeluar China, Xiaomi. Menurut Harsch, kamera terus menjadi faktor utama dalam keputusan pembelian telefon pintar.

    Harsch berkata pasaran kamera global, yang merosot dengan ketara ketika kemunculan fotografi telefon pintar, kini menunjukkan tanda pemulihan dengan pertumbuhan dua digit dalam beberapa segmen. – Bernama

    Matthias Harsch bercakap kepada pemberita di kilang Leica di Wetzlar, Jerman barat, pada 18 Mac lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda