Leicester bangkit benam PSV Eindhoven

PARIS, 15 APRIL – Leicester bangkit untuk menewaskan PSV Eindhoven 2-1 kelmarin dalam Liga Persidangan Europa untuk mara ke separuh akhir Eropah buat kali pertama dalam sejarah mereka, di mana mereka akan menentang pasukan kendalian Jose Mourinho, Roma.

Selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama di England minggu lalu, PSV telah mendahului dalam perlawanan suku akhir menerusi bantuan Eran Zahavi. Walau bagaimanapun, gol lewat James Maddison dan Ricardo Pereira menghantar pasukan Liga Perdana Brendan Rodgers tersebut mara dan mengejutkan penonton di Philips Stadion.

Leicester akan menentang Roma untuk menempah tempat ke final di Tirana pada 25 Mei nanti, selepas pasukan Serie A itu menukar defisit 2-1 pada perlawanan pertama menentang Bodo/Glimt dari Norway dengan menewaskan pasukan tersebut 4-0.

Peluang sebenar pertama perlawanan tersebut dicipta Mario Goetze dari PSV pada minit ke-13, tetapi sepakan voli pemain Jerman itu berjaya diselamatkan oleh Kasper Schmeichel. Leicester sepatutnya mendahului beberapa minit kemudian apabila Harvey Barnes menjaringkan gol ke dalam gawang, tetapi pemain sayap dari England itu mensia-siakan peluangnya di mana cubaan menjaringkannya tersasar.

Schmeichel terpaksa berjaga-jaga sekali lagi pada minit ke-25 untuk menyelamatkan rembatan rendah Mauro Junior tetapi PSV terus mendahului perlawanan selepas itu.

Goetze memintas hantaran Youri Tielemans tepat di luar kotak penalti Leicester, sebelum membuat hantaran kepada Zahavi yang melakukan rembatan ke sudut bawah gawang.

Leicester hampir menyamakan kedudukan selepas separuh masa pertama tetapi Jordan Teze menggagalkan percubaan Maddison. Pasukan pelawat mengasak pada separuh masa kedua tetapi terpaksa menunggu sehingga minit ke-77 untuk menyamakan kedudukan. – AFP

Aksi pemain Leicester City, Ayoze Perez bersaing dalam perebutan bola dengan Philipp Max semasa perlawanan kedua suku akhir Liga Persidangan Europa di Philips Stadion, Eindhoven. – AFP