LONDON, 20 MEI – Leicester City yang baru sahaja disahkan tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) telah didakwa atas pelanggaran peraturan kewangan ketika kempen mereka dalam Liga Kejuaraan musim 2023-2024.
Kelab yang digelar The Foxes itu dituduh melanggar peraturan kewangan Liga Bola Sepak dan kes tersebut kini telah dirujuk kepada suruhanjaya bebas oleh EPL.
Jika didapati bersalah, Leicester boleh dikenakan pemotongan mata apabila kembali bersaing dalam Liga Kejuaraan musim hadapan.
Jurucakap Liga Perdana menyatakan, “Selepas keputusan Tribunal Timbang Tara mengenai bidang kuasa, Leicester City FC kini dirujuk kepada suruhanjaya bebas atas dakwaan melanggar Peraturan PSR Liga Kejuaraan EFL bagi musim 2023/24 dan kewajipan kelab untuk memberikan bantuan penuh, lengkap dan segera kepada Liga Perdana berkenaan siasatan yang dijalankan.”
EFL pula memaklumkan bahawa siasatan terhadap laporan kewangan tersebut dimulakan selepas penyerahan dokumen pada Mac 2024 dan bidang kuasa terhadap siasatan itu dipindahkan kepada Liga Perdana setelah Leicester dinaikkan ke divisyen tertinggi.

Leicester dalam kenyataan balas mengatakan, “Kelab akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam perkara ini setelah bidang kuasa Liga Perdana terhadap tempoh kewangan berakhir FY24 (Tahun Kewangan 2024).”
Menariknya, awal musim ini Leicester berjaya memenangi rayuan bagi menghalang Liga Perdana daripada mendakwa mereka atas pelanggaran kewangan semasa kempen musim 2022-2023. Ketika itu, Leicester berhujah bahawa Liga Perdana tiada bidang kuasa ke atas mereka kerana kelab sedang beraksi dalam Liga Kejuaraan.
Walaupun Liga Perdana mencabar keputusan itu, tribunal memutuskan memihak kepada Leicester.
“Kelab gembira kerana berjaya mempertahankan keputusan Lembaga Rayuan dalam isu PSR bagi tempoh FY23, yang merupakan fokus utama prosiding tersebut.”
Namun, dakwaan kewangan terbaru ini muncul pada musim yang muram buat Leicester, yang kini berada di tangga ketiga tercorot dan hanya menang enam daripada 37 perlawanan.
Pengurus Ruud van Nistelrooy juga masih belum pasti sama ada akan dikekalkan atau digugurkan selepas gagal mengelak penyingkiran. Leicester akan menamatkan musim menentang Bournemouth pada Ahad ini. – AFP