BURNLEY, 2 MAC – Leicester memusnahkan impian Burnley untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana apabila Jamie Vardy yang kembali daripada kecederaan menjadi pencetus kemenangan 2-0 di Turf Moor, semalam.
Skuad bimbingan Brendan Rodgers meledak dua gol dalam tempoh lapan minit terakhir selepas Vardy menjadi watak penting gol James Maddison sebelum dia sendiri menjaringkan gol.
Burnley kekal menduduki zon penyingkiran, satu mata ketinggalan di belakang Everton selepas tiga perlawanan tanpa tewas mereka akhirnya berakhir di halaman sendiri.
Keputusan seri atau menang berupaya mengeluarkan Burnley dari zon penyingkiran buat pertama kali sejak November.
“Kami tidak sebaik sebelumnya, terutama di separuh masa pertama. Ia tidak seteruk mana, tetapi kami membiarkan perkara-perkara kecil menyukarkan kami, tidak bermain dengan tempo mencukupi,” kata pengendali Burnley Sean Dyche.
Bagi Leicester, ia adalah kemenangan liga pertama dalam enam perlawanan sejak mereka menewaskan Liverpool pada 28 Disember.
“Ia satu penantian yang cukup lama. Memang sukar apabila mengalami kecederaan. Untuk kembali dan terbabit dalam kedua-dua gol serta menang, ia sungguh baik,” kata Vardy selepas meledak gol pertamanya sejak Disember.
Manakala Rodgers menambah, “Dia adalah pencetus sebenar. Dia berlari dan menyerang dan biasanya berada di kawasan yang betul untuk meledak jaringan. Untuk memiliki kualiti dan mentaliti tersebut mampu membantu kami.” – AFP
