Leicester mungkin dikenakan lockdown semula

LONDON, 28 JUN – Bandar Leicester di tengah England mungkin dikenakan lockdown tempatan disebabkan pertambahan dalam kes koronavirus, kata Setiausaha Dalam Negeri UK, Priti Patel hari ini.

“Sokongan akan diberikan kepada Leicester dan setiausaha kesihatan Matt Hancock sedang berkomunikasi dengan kami semua pada hujung minggu untuk menjelaskan beberapa langkah, sokongan terhadap ujian dan juga sumber yang akan disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan,” beritahu Patel kepada BBC.

Laporan dalam akhbar Sunday Times berkata kerajaan dijangka mengenakan semula peraturan lockdown ketat ke atas Leicester ‘dalam masa beberapa hari’ selepas pertambahan 658 kes baharu dilaporkan dalam tempoh dua minggu sebelum 16 Jun.

Pertambahan dikaitkan dengan wabak baharu di kilang pengeluaran makanan dan laporan perhimpunan besar-besaran di luar restoran bawa pulang.

Patel menambah terdapatnya ‘kes baharu di seluruh negara dalam beberapa minggu ini, terutamanya tiga atau empat minggu lalu.’

“Untuk wabak tempatan, adalah wajar untuk mencari penyelesaian tempatan dari segi kawalan jangkitan, penjarakan sosial, penyaringan dan lebih banyak peralatan,” kata Patel. – AFP