Saturday, March 1, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Leicester semakin tenggelam di zon penyingkiran

    LONDON, 28 FEB – Leicester semakin hampir kepada penyingkiran segera ke Championship selepas West Ham menjauhkan diri dari zon penyingkiran dengan kemenangan meyakinkan 2-0 semalam.

    Tomas Soucek dan gol sendiri Jannik Vestergaard memastikan kemenangan Hammers sebelum separuh masa pertama berakhir, sekali gus membawa mereka ke tangga ke-15 dan 16 mata di atas zon penyingkiran.

    Sejak Leicester menang dalam perlawanan timbal balik yang merupakan perlawanan pertama Ruud van Nistelrooy sebagai pengurus pada awal Disember, pengendali dari Belanda itu telah menyaksikan 11 kekalahan dan satu seri dalam 13 perlawanan Liga Perdana Inggeris.

    “Gol yang kami bolos adalah gol mudah. Ia mencerminkan cara kami bermain pada separuh masa pertama,” kata Van Nistelrooy.

    West Ham berada dalam momentum positif selepas kemenangan mengejutkan 1-0 ke atas Arsenal pada Sabtu.

    Pasukan bimbingan Graham Potter itu beraksi cemerlang dan sepatutnya menang dengan margin yang lebih besar.

    “Ia adalah persembahan yang profesional. Bukan yang terbaik, tetapi kami gembira dengan dua kemenangan, dua perlawanan tanpa bolos, dan enam mata,” kata Potter.

    Kekalahan tersebut menyebabkan Leicester masih kekal lima mata dari zon selamat di tangga ke-19 dan tidak menunjukkan sebarang tanda mampu menghentikan kemerosotan mereka ke liga divisyen kedua. – AFP

    Tomas Soucek meraikan jaringan gol semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris antara West Ham United dan Leicester City di Stadium London, London, pada 27 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda