LEICESTER, 21 APRIL – Leicester City sah tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris selepas tewas 0-1 kepada Liverpool di Stadium King Power semalam, sementara kemenangan itu meletakkan Liverpool hanya satu kemenangan lagi daripada menjulang kejuaraan liga.
Trent Alexander-Arnold muncul wira apabila menjaringkan satu-satunya gol perlawanan 14 minit sebelum tamat, sekali gus membawa The Reds semakin hampir untuk menyamai rekod 20 kejuaraan liga utama England.
Liverpool berpeluang dinobatkan sebagai juara seawal Rabu ini sekiranya Arsenal tewas di laman sendiri kepada Crystal Palace. Jika The Gunners berjaya mengelak kekalahan, skuad kendalian Arne Slot masih boleh menamatkan saingan dengan kejuaraan apabila menentang Tottenham di Anfield hujung minggu ini.
Leicester pula terus dirundung malang apabila gagal menjaringkan sebarang gol di laman sendiri sejak Disember, dengan kekalahan kesembilan berturut-turut di Stadium King Power menyaksikan mereka tersingkir ke liga bawahan. Ia merupakan kegagalan pahit buat pasukan kendalian Ruud van Nistelrooy.
Alexander-Arnold yang menjaringkan gol kemenangan dijangka sedang melalui detik-detik terakhirnya bersama kelab masa kecilnya itu. Pemain antarabangsa England itu dikhabarkan bakal menyertai Real Madrid selepas kontraknya bersama Liverpool tamat hujung musim ini.
Berbeza dengan rakan sepasukannya Mohamed Salah dan Virgil van Dijk yang baru-baru ini memperbaharui kontrak, Alexander-Arnold hanya tinggal beberapa minggu lagi sebelum kontraknya tamat.
“Saya dah nyatakan sejak awal musim, saya tak akan komen tentang situasi saya,” kata Alexander-Arnold kepada Sky Sports.
“Tapi hari-hari seperti hari ini sungguh istimewa. Menjaringkan gol, bermain, menang perlawanan, semakin menghampiri kejuaraan serta dalam perebutan liga – kesemua itu merupakan saat-saat yang akan saya kenang sampai bila-bila dan saya gembira menjadi sebahagian daripadanya.” – AFP
