LEIPZIG, 27 OKT – RB Leipzig bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas Freiburg di laman sendiri semalam, sekali gus melonjak ke tangga teratas Bundesliga, memintas Bayern Munich. Sementara itu, masalah Borussia Dortmund di tempat lawan berterusan dengan kekalahan terkini.
Freiburg, yang mempamerkan prestasi cemerlang di bawah bimbingan jurulatih baharu, Julian Schuster, mendahului apabila pemain sayap Jepun, Ritsu Doan, berjaya menanduk masuk hantaran Vincenzo Grifo.
Leipzig, yang kelihatan keletihan selepas kekalahan 1-0 kepada Liverpool dalam Liga Juara-Juara di tempat sendiri pada Rabu lalu, ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama namun berjaya menyamakan kedudukan sejurus selepas rehat.
Pertahanan Jerman, Benjamin Henrichs, yang menjadi punca gol pembukaan Freiburg, melakukan hantaran silang berbahaya ke arah gawang yang kemudian disempurnakan oleh kapten Willi Orban ke dalam jaring.
Lutsharel Geertruida memastikan Leipzig di depan pada minit ke-58 apabila dia menyudahkan serangan balas pantas untuk menjaringkan gol pertamanya di Bundesliga.
Lois Openda menambah jaringan Leipzig dengan gol ketiga pada baki 11 minit terakhir, sekali lagi melalui serangan balas gol kelimanya dalam lapan perlawanan musim ini.
Leipzig kini mengatasi Bayern dengan kelebihan tiga mata, sementara Bayern akan berdepan pasukan tercorot, Bochum, hari ini.
Orban mengakui Leipzig mengambil sedikit masa untuk mendapatkan rentak, sambil menambah, “Kami masih keletihan setelah perlawanan menentang Liverpool.”
Dalam perlawanan lain, Bayer Leverkusen terikat seri 2-2 dengan Werder Bremen walaupun dua kali mendahului perlawanan. – AFP