BERLIN, 29 Jan – RB Leipzig meleburkan rekod tanpa kalah Hoffenheim musim ini menerusi kemenangan 2-1, semalam untuk kekal tiga mata di belakang pendahulu Bundesliga, Bayern Munich.
Terpaksa beraksi 10 pemain, Hoffenheim adalah pasukan terakhir di liga kelab-kelab utama Eropah yang belum pernah tewas dengan gol Marcel Sabitzer pada minit ke-77 menjadi pemusnah sekali pun terlebih dulu di depan pada awal babak pertama.
Mendahului menerusi jaringan Nadiem Amiri pada minit ke-18, Timo Werner menyamakan kedudukan buat Leipzig sebelum Sandro Wagner dilayangkan kad merah pada minit ke-60 menjadi pemusnah.
“Saya kagum kerana kami tidak kehilangan arah selepas ketinggalan,” kata jurulatih Leipzig, Ralph Hasenhuettl.
“Ia adalah mata yang penting menentang pasukan yang amat baik. “Kami amat bijak, fleksibel dalam cara kami bertindak.”

Sementara itu, skuad bimbingan Carlo Ancelotti, Bayern kekal di puncak liga selepas mencatat kemenangan sukar 2-1 ke atas kelab bergelut, Werder Bremen.
Bayern di depan apabila hantaran Franck Ribery berjaya menemui Arjen Robben sebelum pemain sayap Belanda itu menyudahkan gerakan menerusi rembatan lencong pada minit ke-31.
David Alaba menggandakan jaringan buat juara Jerman itu pada babak pertama namun Bremen yang kali terakhir menjaringkan gol menentang Bayern pada April 2014 tetap tidak berputus asa di Weser Stadion.
Penyerang Jerman, Max Kruse merapatkan kedudukan dengan meledak gol pada minit ke-53 dengan bekas pemain sayap Arsenal, Serge Gnabry sentiasa mencipta banyak masalah di bahagian kanan namun berjaya dikekang Bayern.
“Ia adalah kemenangan yang penting bagi perlawanan yang sukar,” kata Ancelotti. “Selepas melepaskan gol, kami hilang bentuk dan sedikit gugup dan bimbang, saya perlu mengakuinya. Namun pada akhirnya, kami berjaya mengawal permainan.”
Bayer Leverkusen yang dijadual menentang Atletico Madrid dalam kempen Liga Juara-Juara tiga minggu lagi dalam pada itu tewas 3-2 kepada Borussia Moenchengladbach sekali pun mendahului permainan dengan dua gol. – AFP