BERLIN, 28 FEB – Gol lewat perlawanan dari Alexander Sorloth untuk melengkapkan kemenangan dramatik buat RB Leipzig 3-2 selepas bangkit dari ketinggalan bermain di laman sendiri menentang Borussia Moenchengladbach kelmarin dan mengekalkan mereka dalam perlumbaan mengejar kejuaraan Bundesliga.
Leipzig bangkit menerusi dua jaringan daripada Christopher Nkunku dan Yussuf Poulsen sebelum Sorloth menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-93 selepas Gladbach mendahului perlawanan 2-0 pada separuh masa.
“Kami mencuba segala-galanya untuk membuatkan Bundesliga menarik,” kata jurulatih Leipzig, Julian Nagelsmann.
“Kami terpaksa mengekalkan momentum. Kemenangan sangat penting dari segi kedudukan tangga liga.
“Kami tidak bermain dengan baik apabila kami ketinggalan dua gol, tetapi bangkit dengan kuat pada separuh masa kedua.”
Kemenangan tersebut mengekalkan Leipzig berada di tangga kedua, dua mata di belakang pendahulu, Bayern Munich, yang terdahulu mencatatkan kemenangan selesa 5-1 ke atas Cologne.
Gladbach mengawal perlawanan pada separuh masa pertama selepas Jones Hofmann menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada awal perlawanan dan Marcus Thuram menggunakan bahunya untuk menjaringkan gol hasil daripada tandukan Breel Embolo.
Walau bagaimanapun, Sorloth keluar dari bangku simpanan dan memberi inspirasi kebangkitan pasukan. – AFP