Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Tiada sistem taufan dikesan setakat ini di kawasan rantau ini dan Taufan Usman yang ditularkan dalam media sosial adalah tidak benar.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam menjelaskan perkara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Jabatan itu mengatakan sistem yang ada pada masa ini hanyalah lekukan tropika (tropical depression) dinamakan sebagai Lekukan Tropika Usman oleh Philippine Atmospheric, Geophysical, Astronomical Services Administration (PAGASA). Menurut kenyataan itu lagi, lekukan tropika ini berada di lokasi 11.3N 123 E iaitu kira-kira 1,400km dari Negara Brunei Darussalam dan dijangka memasuki kawasan Laut Cina Selatan beberapa hari akan datang.
Lekukan tropika ini dijangka akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam secara tidak langsung, menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan sekali-sekala lebat berserta angin kencang yang boleh menyebabkan kejadian banjir atau banjir kilat. Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 40 hingga 50 kmsj semasa atau dekat hujan lebat. Manakala keadaan laut dijangka meningkat sehingga 3m.
Oleh yang demikian, orang ramai, khususnya para pemandu di jalan raya dan nelayan adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, demi menjamin keselamatan semua, terutama semasa keadaan cuaca yang aktif pada masa ini yang menjejaskan negara.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan lekukan tropika tersebut dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei wx. Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.