Oleh Fadhil Yunus
Gambar oleh Bahyiah Bakir and Rahwani Zahari
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri telah berkenan mengurniakan trofi kepada Lela Cheteria ‘A’ selepas pasukan itu berjaya menjuarai acara Lumba Perahu Tradisional 30 Pekayuh semasa Regata Brunei, hari ini.
Pasukan kegemaran Negara Brunei Darussalam, Lela Cheteria ‘A’ berjaya memberikan cabaran sengit kepada pasukan jemputan bagi memastikan bahawa salah satu gelaran utama Regata Brunei Darussalam tidak jatuh kepada pasukan luar.
Lela Cheteria ‘A’ juga mempunyai kelebihan kerana mendapat soko-ngan padu dan dorongan daripada sorakan penduduk setempat bagi mengatasi cabaran Pasukan Laksamana Sinampuan.
Pasukan tempatan akhirnya berjaya menewaskan Laksamana Sinampuan sementara pasukan dari Indonesia mendapat tempat ketiga.
Sementara itu, Pasukan Setia Protective Security Services (SPSS) berjaya mencuri tumpuan dalam Kategori Lumba Perahu Fiberglass 20 Pekayuh Syarikat Swasta apabila memenangi acara ini buat kali ketiga.
Timbalan pengurus pasukan menjelaskan bahawa mereka menjalani latihan hampir dua bulan sebagai persiapan untuk Regata Brunei Darussalam 2019.
