Lelaki 60 tahun guna pisau serang buaya

BRISBANE, AUSTRALIA, 10 NOV – Seorang lelaki Australia berusia 60 tahun terselamat dari cengkaman mulut buaya selepas menikamnya beberapa kali menggunakan pisau poket di kepala haiwan yang cuba mengheretnya masuk ke dalam sungai, kata pihak berkuasa hari ini.

Pegawai hidupan liar berkata lelaki itu ‘bertuah kerana masih hidup’ selepas serangan mengerikan berlaku di tebing sungai pendalaman di Semenanjung Cape York itu.

“Berlaku pergelutan dan dia terselamat daripada cengkaman buaya yang berukuran lebih empat meter itu,” kata jabatan persekitaran negeri Queensland, Matt Brien.

“Dia menyatakan melihat buaya itu sekilas pandang sebelum ia menyerang dan menjatuhkannya sebelum dia melontarkan tali pancing,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Lelaki itu kemudiannya berpaut pada satu dahan pokok bakau untuk keluar dari sungai apabila buaya itu mula membaham butnya dan menariknya masuk ke dalam air.

“Kata lelaki itu, apabila masuk ke dalam air, dia berjaya mengeluarkan pisau dari pinggangnya dan menikam kepala buaya itu sehingga dilepaskan,” kata jabatan itu.

Lelaki itu mendakwa dia segera memanjat tebing dan menuju ke Hospital Cooktown untuk menda-patkan rawatan sebelum diterbangkan ke Hospital Cairns, dan dalam proses penyembuhan yang dijangka mengambil masa seminggu.

Pegawai hidupan liar yang menemu bualnya semalam mengesahkan kecederaan yang dihadapinya konsisten dengan serangan buaya. – AFP