CHINA, 25 DIS – Seorang lelaki China berusia 71 tahun berjaya menamatkan acara larian 100 meter dengan catatan masa 14 saat semasa satu kejohanan yang menyaksikan dia memenangi lima pingat emas dalam kategori umurnya.
Jin Hui yang diberi jolokan ‘Hardcore uncle China’ selepas mendominasi acara trek dan belapan Master China 2024, iaitu satu kejohanan yang mencabar atlet berusia antara 35 tahun dan 84 tahun untuk bersaing dalam pelbagai acara trek dan belapan.
Dia bukan sahaja telah memecah rekod baharu kebangsaan bagi acara larian 100 meter dalam kumpulan umurnya, malah dia turut membolot pingat emas dalam lima acara yang disertainya, lapor Oddity Central.
“Saya menyertai lima acara dalam Kejohanan Master kali ini dan memenangi kesemua lima pingat emas,” Jin memberitahu CCTV News. “Saya berasa seronok dan memecahkan rekod merupakan saat yang paling menggembirakan dalam hidup saya. Saya terasa sangat gembira kerana berjaya mencabar kemampuan diri!”
Dia kini menatap matlamat untuk berjaya di peringkat antarabangsa, dan merancang untuk ikut serta dalam acara luar negara untuk mengharumkan nama negara.
Jin Hui mengongsikan bahawa dia hanya mengetahui mengenai acara trek dan belapan selepas bersara daripada pekerjaannya sebagai seorang penyelenggara di sebuah kilang keluli di Inner Mongolia pada 2008.
Dia dinasihatkan oleh anak lelakinya untuk menyertai sebuah pasukan bola sepak veteran di Qingdao. Meskipun dia tidak mempunyai kemahiran seperti pemain lain, namun dia bertekad untuk berusaha keras daripada orang lain.
“Disebabkan saya tidak mempunyai kemahiran yang bagus, jadi saya berlari 7,000 meter manakala yang lain hanya berlari 5,000 meter. Jadi saya meningkatkan kecergasan fizikal saya,” dedah Jin Hui, dan menambah cara latihan ini membuatkan rakan sepasukannya menyedari kepantasan dan mencadangkannya untuk menyertai acara larian. – Xinhua