Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki AS ditahan bawa bahan letupan

    NEW YORK, 2 MAC – FBI telah menahan seorang lelaki yang didakwa cuba membawa bahan letupan ke dalam pesawat di Pennsylvania, kata pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

    Bom itu ditemui oleh kakitangan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) pada hari Isnin, selepas beg berdaftar atas nama lelaki itu mencetuskan penggera di Lapangan Terbang Antarabangsa Lehigh Valley di bandar Allentown, kata agensi persekutuan itu dalam satu kenyataan.

    Sebahagian lapangan terbang, yang terletak kira-kira 160 kilometer barat New York, telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, kata TSA.

    “FBI dan juruteknik bom penguat kuasa undang-undang tempatan menentukan bahawa barang itu sememangnya alat letupan hidup,” kata jurucakap TSA Lisa Farbstein di Twitter.

    Bahan letupan itu, menurut fail mahkamah, adalah bungkusan bulat mengandungi bahan seperti serbuk yang dibalut dengan bungkus plastik, dengan fius dipasang dan tersembunyi di dalam lapisan beg.

    Pakar tempatan menentukan bahan itu selaras dengan bunga api gred komersial, menurut fail mahkamah, yang diterbitkan oleh laman media Axios.

    Beg itu juga mengandungi satu tin gas, dua biji bekalan kuasa yang dilekatkan bersama, dan sebatang paip dengan ‘sisa serbuk putih’ di atasnya.

    Suspek, dikenali sebagai Mark Muffley, meninggalkan lapangan terbang selepas dipanggil ke meja keselamatan, dan kemudiannya ditahan di rumahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda