SYDNEY, 18 JULAI – Polis menahan seorang lelaki yang cuba menyeludup ratusan komponen senjata api dari Amerika Syarikat (AS) ke Australia, lapor Xinhua.
Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Pasukan Sempadan Australia (ABF) dalam kenyataan bersama hari ini berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan sebaik tiba di Lapangan Terbang Brisbane pada 26 Jun.
Pihak berkuasa berkata lelaki itu dalam perjalanan dari AS membawa sembilan bungkusan, yang kemudiannya didapati mengandungi ratusan komponen senjata api.
Kesemua bungkusan itu dihantar dari AS ke beberapa alamat di negeri Queensland dan Victoria menggunakan butiran palsu, sebelum dipintas oleh ABF dan dihantar untuk analisis forensik. – Bernama


