Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Australia ditahan seludup kokain di Indonesia

    DENPASAR, 26 MEI – Pihak berkuasa Indonesia telah menahan seorang lelaki warga Australia kerana didakwa menyeludup kokain ke pulau pelancongan Bali, satu kesalahan yang boleh membawa hukuman mati, menurut kenyataan rasmi hari ini.

    Negara Asia Tenggara itu mempunyai undang-undang dadah yang sangat ketat, dan penyeludup yang disabitkan kesalahan kadang kala dihukum mati melalui skuad penembak.

    Lelaki berusia 43 tahun dari Sydney itu ditahan pada 22 Mei selepas polis menyerbu rumah sewanya berhampiran pantai Kuta, lokasi pelancongan terkenal, dan merampas 1.7 kilogram kokain dalam 206 beg plastik klip, bersama penimbang digital dan telefon bimbit, kata Ketua Polis Bali, Daniel Adityajaya.

    Penangkapan itu susulan siasatan oleh pasukan pemantau anti-dadah Polis Bali yang melaporkan lelaki berkenaan telah menerima dua bungkusan mencurigakan yang dihantar melalui pos dari England, kata Adityajaya.

    “Dia disyaki mengimport atau mengedar narkotik kelas 1,” kata Adityajaya dalam sidang media di ibu negeri wilayah itu, Denpasar. “Dia berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.”

    Adityajaya berkata siasatan awal menunjukkan lelaki Australia itu telah menggunakan perkhidmatan teksi motosikal melalui aplikasi Grab pada 21 Mei untuk mengambil dua bungkusan dari sebuah pejabat pos di Denpasar.

    Pemandu itu kemudian diarahkan untuk menyerahkan bungkusan tersebut kepada pemandu dari perkhidmatan teksi motosikal lain, yang diminta menghantarnya ke rumah sewa lelaki Australia tersebut, tambah Adityajaya.

    Polis hari ini turut mempersembahkan suspek dalam sidang media.

    Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga dan topeng muka serta bergari, tidak memberikan sebarang kenyataan.

    Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) menyatakan bahawa Indonesia merupakan salah satu hab penyeludupan dadah utama meskipun memiliki undang-undang dadah antara yang paling ketat di dunia, sebahagiannya kerana sindiket dadah antarabangsa mensasarkan golongan muda negara itu. -AP

    Seorang lelaki warga Australia yang ditahan kerana didakwa menyeludup kokain berdiri diiringi polis semasa sidang media di ibu pejabat polis di Bali, Indonesia, pada 26 Mei. -AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda