SYDNEY, 3 JULAI – Seorang lelaki Australia telah meninggal dunia akibat jangkitan seperti rabies yang ‘sangat jarang berlaku’ dan dipercayai ditularkan melalui gigitan kelawar, menurut pegawai kesihatan hari ini.
Lelaki berusia dalam lingkungan 50an itu telah digigit oleh seekor kelawar yang membawa virus Australian bat lyssavirus beberapa bulan lalu, menurut perkhidmatan kesihatan di New South Wales (NSW).
“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa atas kehilangan yang tragik ini,” kata NSW Health dalam satu kenyataan.
“Walaupun kes Australian bat lyssavirus amat jarang berlaku, tiada rawatan berkesan untuk jangkitan itu,” tambah kenyataan itu.
Mangsa yang berasal dari utara New South Wales dan tidak dinamakan, telah dimasukkan ke hospital dalam keadaan ‘kritikal’ minggu ini.
Pegawai kesihatan turut memaklumkan, mangsa telah menerima rawatan selepas digigit dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada terdapat pendedahan atau faktor lain yang menyumbang kepada penyakit tersebut.
Tanda-tanda awal penyakit ini menyerupai selesema seperti sakit kepala, demam dan keletihan, menurut perkhidmatan kesihatan.
Keadaan mangsa akan merosot dengan cepat, mengakibatkan lumpuh, halusinasi, sawan dan akhirnya kematian.
Orang awam dinasihatkan agar tidak menyentuh atau mengendalikan kelawar kerana mana-mana kelawar yang berada di Australia berkemungkinan membawa virus lyssavirus, jelas perkhidmatan kesihatan New South Wales.
Menurut NSW Health, virus itu telah dikesan dalam spesies kelawar flying fox dan kelawar pemakan serangga (microbat).
Bagaimanapun, spesies kelawar yang terlibat dalam kes kematian terbaru ini masih belum dikenal pasti. – AFP


