Monday, July 8, 2024
23 C
Brunei

    -

    Lelaki Australia miliki dadah di Bali dihukum

    DENPASAR, 5 JULAI – Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman enam bulan pemulihan perubatan kepada seorang lelaki Australia Khamis selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine di pulau pelancongan Bali.

    Troy Andrew Smith, dari Port Lincoln di negeri Australia Selatan, ditahan pada 30 April selepas polis menyerbu hotelnya di Legian, tempat pelancongan popular berhampiran Pantai Kuta, dan merampas 3.15 gram kristal methamphetamine di dalam bekas ubat gigi dari biliknya . Polis menemui 0.4 gram dadah lagi, bersama bong dan pemetik api di dalam laci mejanya.

    Pertuduhan awalnya yang membawa hukuman mati kerana mengedar dadah telah digugurkan.

    Penangkapan itu berikutan petunjuk bahawa Smith telah menerima bungkusan yang mencurigakan mengandungi ubat gigi melalui pos dari Australia. Di bawah undang-undang dadah Indonesia yang ketat, dia berdepan hukuman penjara 12 tahun jika didapati bersalah.

    Smith duduk diam ketika panel tiga hakim di Mahkamah Daerah Denpasar menjatuhkan hukuman itu. Hakim juga memerintahkan tempoh dia telah menjalani pemulihan sejak dia ditangkap dipotong daripada hukumannya, bermakna dia akan dibebaskan dalam beberapa bulan.

    “Defendan memang melakukan kesalahan jenayah penyalahgunaan narkotik kelas I untuk kegunaan peribadi,” kata Hakim Ketut Suarta, “Apa yang dia lakukan adalah menentang usaha kerajaan memerangi pengedaran dadah.”

    Pendakwa raya telah meminta pemulihan perubatan selama lapan bulan untuk Smith, tetapi hakim berkata mereka mengurangkan penalti kerana Smith menyesali perbuatannya dan berjanji untuk melakukan pembaharuan.

    Semasa perbicaraan yang bermula dua minggu lalu, akauntan berusia 49 tahun itu memberitahu mahkamah bahawa dia memesan dadah itu daripada seorang lelaki di Australia tiga minggu sebelum penahanannya dan dia menyesali tindakannya dan meminta maaf.

    Dia berkata bahawa dia telah menggunakan meth secara rutin setiap hari untuk mengurangkan kemurungan dan kebimbangan sejak 2020.

    Pihak berkuasa mengurangkan pertuduhan awal mengedar dadah, yang boleh membawa hukuman mati, kepada pertuduhan kurang serius penggunaan dadah selepas pasukan penilai dadah polis menentukan dia hanya pengguna dadah.

    Selepas hakim membacakan hukuman itu, kedua-dua pendakwa raya dan peguam Smith berkata bahawa mereka menerima keputusan itu dan tidak akan merayu.

    Smith melahirkan rasa terima kasihnya kepada kedua-dua peguamnya dari Indonesia dan Australia, ibu dan kakaknya, atas bantuan dan sokongan mereka ketika bercakap kepada pemberita selepas perbicaraan hukuman itu.

    “Terima kasih kepada Tracy, yang cintanya saya titipkan setiap hari,” kata Smith, merujuk kepada isteri baharunya. Dia sedang berbulan madu di Bali ketika dia ditangkap. – AP

    Troy Smith duduk di bilik mahkamah untuk perbicaraan keputusannya di mahkamah daerah Denpasar di Bali, Indonesia kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemimpin Asia S ucap tahniah kepada presiden baharu Iran

    NEW DELHI, 7 JULAI – Pemimpin-pemimpin Asia Selatan menyampaikan ucapan tahniah kepada presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian serta menzahirkan hasrat mereka untuk mengukuhkan hubungan...