Sunday, February 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Bangladesh didakwa tikam Saif Ali Khan diberkas

    Seorang warga Bangladesh didakwa menyerang aktor Bollywood terkenal, Saif Ali Khan di kediamannya di Mumbai, Khamis lalu ditahan di Thane, Maharashtra, awal pagi tadi.

    Media India melaporkan, individu dikenali sebagai Mohammad Shariful Islam Shahzad, 30, ditahan pihak polis berhampiran Hiranandani Estate di Kasarvadavali sekitar 35 kilometer (km) dari kediaman Khan.

    “Hasil siasatan mendapati suspek pergi ke rumah Khan dengan niat untuk mencuri. Kami percaya dia adalah warga Bangladesh.

    “Dia tidak memiliki dokumen India dan beberapa bukti ditemui menunjukkan suspek berasal dari Bangladesh,” kata pegawai kanan polis, Dixit Gedam dalam satu sidang akhbar selepas penangkapan individu terbabit.

    Menurut Gedam, suspek menetap di Mumbai selama empat bulan dan menukar namanya kepada Bijoy Das, malah lelaki itu juga dilaporkan pernah bekerja di syarikat penjagaan rumah.

    Pembedahan Khan berlangsung selama lima jam dan keadaannya dilaporkan semakin pulih. – businesstoday.in

    Memetik laporan BH Online, sebelum ini, pihak polis memaklumkan, Khan mengalami beberapa luka akibat tikaman pada leher dan berhampiran tulang belakang selepas seorang penceroboh memasuki kediamannya, awal pagi Khamis.

    Semalam, seorang suspek dipercayai terbabit dalam kes serangan ditahan di stesen kereta api Durg, Chhattisgarh.

    Suspek dikenali sebagai Aakash Kailash Kannojia, 31, ditangkap selepas maklumat daripada polis Mumbai membantu Pasukan Perlindungan Kereta Api (RPF) mengesan dan menangkapnya ketika dalam perjalanan menggunakan kereta api Mumbai-Howrah Jnaneswari Express.

    Lelaki itu dilaporkan sedang dalam perjalanan tanpa tiket dan disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian serangan terhadap Khan.

    Sumber dalam kalangan penumpang berkata, individu terbabit mempunyai rupa paras sama dengan suspek dalam kes pencerobohan kediaman Khan.

    Polis Mumbai masih meneruskan siasatan bagi menyelesaikan kes. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda