DHAKA, 24 MAC – Seorang lelaki berusia 38 tahun, Md Alamgir Hossain berdepan hukuman penjara pada Ahad selepas didapati bersalah membunuh seekor “fishing cat” di Kampung Dhanagora, Chuadanga, lapor Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS).
Kejadian berlaku pada 21 Mac lalu, apabila Alamgir Hossain bersama dua rakannya – Mintu, 35 dan Md Saiful Islam, 45 – menikam haiwan itu berhampiran Jalan Manikdoya, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim.
Tindakan kejam itu dirakam dalam satu video yang kemudian tular di Facebook, mencetuskan kemarahan orang ramai serta mendorong Jabatan Perhutanan untuk menjalankan siasatan.

Susulan video tular itu, satu pasukan dari Jabatan Perhutanan melawat lokasi kejadian kelmarin.
Selepas pemeriksaan dilakukan, pentadbiran Damurhuda Upazila mengarahkan Balai Polis Darshana untuk memfailkan kes, yang membawa kepada penangkapan Alamgir Hossain.
Pertubuhan sukarela Manabatar Jonno dan Pankouri membantu pihak berkuasa menyiasat kejadian itu dan meningkatkan kesedaran tentang perlindungan hidupan liar.
Selain itu, Bahagian Pengurusan Hidupan Liar dan Pemuliharaan Alam Semula Jadi di Khulna turut mengedarkan risalah kesedaran bagi mempromosikan usaha perlindungan spesies ‘fishing cat’ yang kini terancam. – Bernama