Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Bangladesh mengaku terlibat pemerdagangan orang

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Seorang warga Bangladesh, Mahedi Hasan, 44, kelmarin, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan kesalahan pemerdagangan orang.

    Dua daripada pertuduhan itu di bawah Bab 4 Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang, 2004, bagi kesalahan yang dilakukan pada tahun 2018, manakala pertuduhan ketiga di bawah Bab 5(1) Akta Antipemerdagangan Orang, Penggal 230, atas kesalahan yang dilakukan pada tahun 2019.

    Siasatan oleh Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia, Pasukan Polis Diraja Brunei mendedahkan defendan telah memperdagangkan tiga warga Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam antara tahun 2018 hingga 2019, bagi tujuan buruh paksa.

    Mangsa-mangsa yang menanggung hutang besar di Bangladesh telah datang ke Brunei dengan bergantung kepada janji defendan mengenai pekerjaan bergaji lumayan.

    Sejak ketibaan mereka di sini, defendan gagal menyediakan pekerjaan yang dijanjikan.

    Walaupun mereka menganggur, defendan tetap menuntut bayaran bulanan antara $50 hingga $100 daripada mangsa-mangsa dan mengugut untuk menghantar mereka pulang sekiranya gagal membayar.

    Defendan juga mengakui dia telah menempatkan mangsa-mangsa di beberapa buah tempat kerja mengikut kehendaknya dan menyimpan pasport mereka.

    Defendan mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan mengakui fakta kejadian yang dikemukakan oleh pihak pendakwa.

    Kes tersebut telah didengar di Mahkamah Tinggi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli, yang mana Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli mewakili Pendakwa Raya dan Peguam Bela daripada Tetuan Daud Ismail & Company bagi pihak defendan.

    Hukuman bagi kes ini telah ditangguhkan ke 6 November.

    Gambar Unsplash

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda