Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Seorang lelaki berbangsa Iban telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Dakwah (Unit Dakwah Daerah Tutong), Pusat Dakwah Islamiah (PDI) pada majlis yang berlangsung di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Daerah Tutong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, sebelum lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Andreas Christino anak Gawing, 17, yang kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Muhammad Adam Riziqi bin Abdul Rahim.
Kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati dan diserikan lagi dengan laungan Dikir Marhaban yang disampaikan oleh tetamu kehormat.
Sejak Januari hingga November lalu, PDI mencatatkan seramai 400 orang yang telah memeluk agama Islam di seluruh negara, yang mana 155 orang daripada jumlah tersebut adalah dari Daerah Tutong.




