Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Seorang lelaki berbangsa Iban, Romairo anak Adak, berusia 31 tahun, telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam satu majlis pengislaman yang diadakan di Masjid Kampung Kapok, Muara.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Romairo anak Adak, yang kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Awang Muhammad Romairo bin Abdullah Adak.
Majlis pengislaman disempurnakan di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah dan disusuli dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis.
Sehingga 30 Oktober 2025, seramai 217 orang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam, dengan 109 orang daripadanya berasal dari Daerah Brunei dan Muara. Angka tersebut mencerminkan keberkesanan usaha dakwah berterusan serta hidayah daripada Allah SWT.




