Sunday, April 2, 2023
24.6 C
Brunei

-

Lelaki bawa ikan emas bersiar-siar

TAICHUNG, 24 MEI – Di bandar Taichung, Taiwan, Jerry Huang telah mencipta sesuatu untuk binatang peliharaan akuatiknya iaitu kolam ikan emas yang mempunyai roda.

“Sebelum ini, ramai orang membawa binatang peliharaan mereka seperti anjing, kucing dan burung kakak tua untuk berjalan bersiar-siar. Malahan ada yang membawa ular dan iguana,” kata Huang kepada AFP.

“Adakah binatang hidupan laut mampu meneroka apa yang ada di darat?” soalnya.

Huang, seorang jurugambar dron yang mencari pendapatan dengan menghasilkan kandungan di saluran YouTube, tidak lama selepas itu berjaya mencari penyelesaian.

Selepas menghabiskan beberapa minggu di bengkelnya memikirkan mengenai rekaan, kolam ikan beroda itu berjaya dipasang dalam masa beberapa hari, dengan menggunakan alat ganti yang terdapat di bengkelnya.

Jerry Huang semasa membawa ikan emasnya bersiar-siar. – AFP
Seorang budak melihat kolam ikan yang mempunyai roda dengan lebih dekad di sebuah taman di Taichung pada 19 Mei 2022.- AFP

Kolam ikan yang kelihatan sangat moden itu dibina daripada silinder akrilik besar yang dipenuhi air untuk menyimpan ikan, dan ia digabungkan dengan penurasan yang berkuasa bateri serta sistem tapisan oksigen direka khas pada kolam ikan tersebut. Ia dianggarkan menelan kos antara AS$300 hingga AS$400.

“Saya melakukan banyak penyelidikan sebelum saya memulakan projek ini. Ia bukan dibina tanpa dirancang. Awda mesti memahami mengenai ikan terlebih dahulu,” katanya.

Huang yakin binatang peliharaannya itu menikmati pengembaraan tersebut.

“Kita mesti menggalakkan pengembaraan ke tempat lain, dunia eksotik, sebab itu kita menghantar kapal angkasa ke kosmos,” katanya.

“Jika saya seekor ikan emas, saya pasti teruja bila seseorang mencipta untuk saya sesuatu yang boleh saya terokai ke dunia lain,” tambahnya. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hayashi bakal lawat China di tengah-tengah ketegangan

TOKYO, 31 MAC - Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi hari ini berkata beliau akan mengadakan lawatan ke China hujung minggu ini untuk berbincang dengan...
- Advertisment -