Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Seorang lelaki yang berdepan tuduhan mencuri dan melakukan kerosakan pada dua kabel pendawaian tembaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret.
Mohammad Hazman bin Awang Nasri, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Kanan Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar, yang kemudian menetapkan 1 Mac untuk tarikh menjatuhkan hukuman tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Januari 2018 sekitar jam 9:09 malam di kawasan Parklane Industry, Ban 5 Mulaut.
Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh ketika kejadian memandu keretanya di kawasan tersebut dan terlihat kabel pendawaian itu di luar bangunan kediaman pekerja. Dia kemudian memotong kabel pendawaian itu.
Ketika memotong kabel itu, tertuduh telah melakukan kerosakan padanya, yang mana kabel pendawaian itu mempunyai sambungan daripada sumber elektrik ke dua unit kontena yang terletak di luar bangunan tersebut.
Tertuduh telah menjual kabel pendawaian itu pada harga $20.
Laporan polis dibuat pada 31 Januari apabila salah seorang pekerja menyedari kabel pendawaian itu telah hilang.
Rakaman litar tertutup di bangunan tersebut mendedahkan tertuduh berada di tempat kejadian. Kerosakan pada kabel pendawaian itu dianggarkan berjumlah $580.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Kamaliah binti Haji Ibrahim.