KANO, NIGERIA, 7 NOV – Lelaki bersenjata daripada kumpulan penjenayah telah membunuh 13 murid seminari Islam dalam satu majlis meraikan Hari Keputeraan Nabi Muhammad di negeri Katsina, barat laut Nigeria, kata seorang pegawai tempatan hari ini.
Katsina merupakan salah satu daripada beberapa buah negeri di barat laut dan tengah Nigeria yang diancam oleh kumpulan penjenayah, juga dikenali sebagai penyamun, yang menyerbu kampung, membunuh dan menculik penduduk serta membakar rumah selepas merompak mereka.
Kumpulan itu, yang bersembunyi di hutan besar yang merentangi negeri Zamfara, Katsina, Kaduna dan Niger, terkenal kerana penculikan besar-besaran pelajar dari sekolah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beberapa orang lelaki bersenjata bermotosikal menyerbu kampung Kusa di daerah Musawa pada kira-kira 2130 GMT semalam, melepaskan tembakan ke arah pelajar sekolah yang meraikan Maulud di tengah kampung, kata Habibu Abdulkadir, pentadbir politik bagi daerah Musawa, memberitahu AFP melalui telefon.
“Penyamun tersebut melepaskan tembakan ke arah perhimpunan murid semasa bacaan doa. Mereka membunuh 13 orang dan mencederakan 20 yang lain,” kata Abdulkadir.
Lima daripada mangsa yang cedera dirawat di hospital di Musawa, manakala 15 yang lain yang parah dibawa ke pusat perubatan lebih besar di ibu negeri Katsina, 100 kilometer (lebih 60 batu) jauhnya, katanya.
“Pemerhati tempatan kami dikerahkan di kampung dan berhadapan dengan penyamun, memaksa mereka melarikan diri ke dalam semak,” kata Abdulkadir.
Katanya, kedatangan pemerhati menghalang penyerang daripada menculik murid lain pada majlis itu. – AFP