ABUJA, NIGERIA, 5 APRIL – Kira-kira 10 pelajar telah diculik oleh lelaki bersenjata di barat laut Nigeria, kata pihak berkuasa kelmarin.
Pelajar dari Sekolah Menengah Kerajaan di negeri Kaduna telah diculik semasa serangan baru-baru ini, namun tidak jelas dari mana mereka diculik, kata Pesuruhjaya keselamatan negeri, Samuel Aruwan.
“Lokasi sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan tetapi masih menunggu laporan terperinci yang akan menjelaskan sama ada kejadian itu berlaku di dalam kawasan sekolah atau di tempat lain,” katanya.
Penculikan pelajar dari sekolah di utara Nigeria adalah perkara biasa dan menjadi kebimbangan yang semakin meningkat sejak 2014, apabila pelampau Islam menculik lebih 200 pelajar sekolah di negeri Borno. Lebih 1,000 pelajar diculik dari sekolah di wilayah barat laut dan utara tengah pada 2020 dan 2021, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun lepas.
Pihak berkuasa menyalahkan penculikan ke atas kumpulan bersenjata yang sering menyasarkan masyarakat terpencil. Kebanyakan lelaki bersenjata dianggap sebagai lelaki muda yang berasal dari etnik Fulani, sekumpulan sebahagian besar Muslim pengembala separa nomad yang telah terlibat dalam konflik dengan masyarakat mengenai akses kepada tanah dan air.
Walaupun serangan tersebut berkurangan tahun lalu apabila pasukan keselamatan Nigeria meningkatkan operasi ketenteraan yang menyasarkan tempat persembunyian lelaki bersenjata, namun kerajaan masih bergelut untuk meredakan pemberontakan. – AP