SANTIAGO, 21 APRIL – Sekumpulan penyerang bersenjata telah menyerang sebuah loji hidroelektrik milik China yang sedang dalam pembinaan di Chile kelmarin.
Menurut pihak polis, penyerang itu telah membakar puluhan trak dan peralatan berat.
Loji kuasa Rucalhue yang sedang dibina oleh Rucalhue Energia Spa, sebuah anak syarikat China International Water and Electric Corporation (CWE), menyatakan kos perbelanjaan bagi pembangunan tersebut dianggarkan sebanyak AS$350 juta.
Loji itu telah dibina di sepanjang Sungai Biobio, salah satu sungai utama di Chile, dan mendapat tentangan daripada komuniti pribumi yang mendakwa ia akan merosakkan alam sekitar.
Pengawal keselamatan di tapak kerja berkata, penyerang yang bersenjatakan senjata api muncul dan mengancam mereka. Mereka kemudiannya “memusnahkan semua peralatan di tapak itu,” kata ketua polis Renzo Miccono.
Tambahnya lagi, penyerang itu telah membakar 45 trak dan lima buah peralatan penggali. Dua pengawal keselamatan cedera dalam serangan tersebut, yang berlaku 550 kilometer di selatan Santiago.
Kementerian Luar China hari ini telah mengecam serangan tersebut dan berkata ia telah menghubungi pihak berkuasa Chile mengenai “langkah konkrit untuk melindungi keselamatan projek dan kakitangan syarikat China.”
“China bersedia bekerjasama rapat dengan pihak Chile untuk melaksanakan siasatan dan tindakan susulan yang relevan,” kata jurucakap Guo Jiakun dalam satu sidang media.
Menteri Keselamatan Chile, Luis Cordero, memberitahu media tempatan berdasarkan lokasi dan cara serangan dijalankan, ia adalah ‘berunsur teroris’. – AFP
