KABUL, 2 NOV – Kira-kira 19 orang terbunuh manakala 22 lagi cedera hari ini apabila militan menyerbu universiti terbesar Afghanistan dalam serangan yang berakhir beberapa jam selepas bertempur dengan pasukan keselamatan, kata para pegawai.
“Tiga penyerang telah terlibat. Salah seorang daripadanya telah meletupkan bahan letupan pada awalnya, dua lagi berjaya ditumpaskan oleh pasukan keselamatan,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tariq Arian kepada AFP.
Taliban berkata mereka tidak terlibat dalam insiden hari ini di Universiti Kabul namun beberapa pusat pendidikan telah diserang beberapa tahun oleh kumpulan militan seperti Islamic State (IS).
Jurucakap polis Kabul, Ferdaws Faramerz memberitahu AFP kebanyakan yang terbunuh adalah para pelajar.
Hamid Obaidi, seorang jurucakap bagi Kementerian Pendidikan Tinggi memberitahu AFP serangan itu bermula ketika para pegawai kerajaan tiba bagi pembukaan pesta buku Iran yang dianjurkan di kampus itu.
Lelaki bersenjata menyerang kemudahan, mengakibatkan ratusan lari dengan merangkak ke tembok kampus ketika cuba untuk menyelamatkan diri daripada tembakan, kata saksi.
Pasukan keselamatan Afghan kemudian mengepung kawasan itu, menyekat semua jalan raya yang menuju ke universiti, menurut saksi dan laporan koresponden AFP.
“Serangan sudah berakhir namun malangnya 19 orang telah terbunuh dan 22 lagi cedera,” kata jurucakap dalam negeri, Arian dalam Twitter. – AFP
