SYDNEY, 23 DIS – Seorang lelaki warga Australia telah ditahan dan didakwa atas kesalahan mendera haiwan selepas 98 ekor kanggaru ditemukan mati di utara Sydney.
Polis menemukan kanggaru-kanggaru tersebut mati di tanah milik kerajaan persekutuan di bandar Singleton, kira-kira 140 kilometer (km) ke utara Sydney di negeri New South Wales (NSW), bersama dengan peluru dan dua kartrij pada 8 Oktober lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Polis NSW mengesahkan bahawa seorang lelaki berusia 43 tahun telah didakwa atas enam kesalahan berhubung kejadian tersebut selepas satu siasatan dijalankan.
Lelaki itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah hartanah di Williamtown, kira-kira 70km ke timur Singleton, pada Jumaat. Semasa menjalankan waran geledah, Polis NSW berkata pegawai polis telah menemui dan merampas tiga senjata api. Beberapa senjata api juga dirampas dari satu lagi hartanah di kawasan berkenaan.
Lelaki tersebut didakwa atas kesalahan melakukan penderaan haiwan yang teruk, mencederakan haiwan yang dilindungi, menceroboh tanah milik Komanwel dan kesalahan berkaitan senjata api.
Kanggaru adalah haiwan semula jadi yang dilindungi di setiap negeri dan wilayah di Australia. Mana-mana individu yang didapati bersalah atas penderaan haiwan yang dilindungi di NSW berdepan dengan hukuman maksimum dua tahun penjara bagi setiap kesalahan. – Xinhua